Rencana

Peningkatan kos hidup, adakah artis akan lebih kreatif ? (Bahagian 1)

Soalan ini timbul apabila menyedari bahawa kita semua sedang dan bakal berdepan dengan pelbagai perubahan ekonomi yang menyukarkan, baik perlaksanaan GST dan kesan-kesan rantaian akibat kenaikan harga bahan bakar dan sumber tenaga lain.

Maka saya ajukan soalan ini kepada diri sendiri. Bukan kerana saya seorang artis yang punya karya bergedung, tetapi hanya kerana terfikir tentangnya.

Saya ajukan kepada rakan-rakan. Ada yang menjawab – Ya, kerana artis akan lebih kreatif apabila mereka terdesak. Ada pula yang menjawab – Tidak, seniman takkan bertambah kreatif kerana akan beralih bidang lain untuk cari penghidupan baru yang lebih terjamin, jadi guru contohnya.

Ada pun segelintir yang menjawab, bergantung kepada keadaan. Dan, ada juga sebilangan yang menjawab tak pasti.

Soalan yang mudah ini rupa-rupanya tak semudah itu untuk dijawab dengan jelas.

Great Depression

Kesukaran yang bakal dihadapi bahkan yang sudah mula kita rasai di Malaysia hari ini mungkin tidak sama dengan Great Depression di Amerika pada tahun 30-40an.

Tetapi ada beberapa hal asas yang mungkin boleh dilihat dalam konteks untuk – memacu pertumbuhan sosial dan ekonomi dan keluar dari perangkap kemiskinan mahupun kesempitan hidup.

Bermulanya kejatuhan saham yang pada ketika itu dikenali sebagai Black Tuesday, maka bermulalah kisan rantaian kepada industri pembuatan dan perdagangan hingga menjadi satu krisis ekonomi dan sosial yang besar di Amerika.

Kesannya lebih meruncing apabila kerja dan peluang kerja telah hilang, kehidupan payah. Dalam kepayahan dan tekanan hebat itu, Presiden Amerika ketika itu Franklin D. Roosevelt menggerakkan beberapa langkah sosial yang agresif.

Salah satu langkahnya itu ialah menerusi inisiatif yang dikenali sebagai Federal Arts Programs.

Zaman sebelum Great Depression ini, seni di Amerika khususnya seni rupa tidak begitu berpengaruh. Tetapi Roosevelt ini merasakan bahawa seni boleh menjadi ‘magnet’ atau ‘trigger’ untuk menarik dan menggerakkan usaha supaya rakyatnya kembali bekerja dan menghasilkan kerja.

Malah, beliau turut sedar bahawa seni ini juga boleh membina persepsi dan keyakinan rakyat hingga sesuatu gerakan massa ekonomi, sosial, budaya dan politik boleh dibuat.

Federal Arts Programs ini dibentuk dalam pelbagai medium seperti Federal Arts Project, Federal Music Project, Federal Theatre Project, Federal Writers’ Project, yang mana kesemua ini berpayung dibawah Works Progress Administration (WPA) sekitar tahun 39-43.

WPA ini pula dikendalikan dibawah US Treasury Department. Kesemua ini juga adalah hasil dari percikan Ide New Deal semasa Great Depression. Demikian secara ringkas menurut sejarahnya.

Kerja bina negara bangsa

Tujuan utama Federal Arts Program ini amat mudah iaitu, untuk mendorong semua rakyat kembali bekerja dengan mencipta kerja dan dibayar dengan amaun paling asas. Dengan kata lain, mencipta kerja dan bekerja untuk hidup, itu sahaja.

Jika kita ingat kembali pidato pertama Presiden Indonesia Jokowi semasa angkat sumpah jawatan, penekanan beliau kepada Bangsa Indonesia agar perlu terus bekerja, kerja dan kerja.

Tetapi apakah ada kaitan antara kerja mengisi ‘perut’ untuk hidup dengan kerja membina negara bangsa?

Bekerja dalam konteks Federal Arts Program ini juga ada hubungkait dengan semangat pembentukan ‘American Life’, bukan berasaskan bangsa atau ras sesuatu kaum tetapi pembinaan negara bangsa (nation building). Ini adalah pengisiannya.

Maka projek Federal Arts Program ini bukan hanya bertujuan untuk ‘perut’ tetapi juga memanfaat dan membina kemahiran dan ide rakyat menjadi sesuatu yang zahir dan beridentitikan Amerika.

Bermula dari era inilah kebudayaan Amerika muncul, kini kita hanya mendengar ungkapan American Dream yang dibanggakan oleh rakyat Amerika.

Saya tidak menyatakan bahawa Projek Seni Amerika ini benar-benar berjaya atau hebat, tetapi saya cuba untuk melihat sisi yang memberi kesan dan praktikal.

Artis seperti Jackson Pollock, Willem De Kooning antaranya, muncul dengan ism Abstrak Ekspresionis yang cukup berpengaruh selepas era itu.

Projek-projek ini secara tidak langsung telah membantu mengeluarkan Amerika dari Great Depression, malah ia menjadi inspirasi kepada kemajuan industri kreatif dan kebudayaan Amerika hingga mempengaruhi kebudayaan Eropah dan Asia.

Soal baik buruk atau halal haram, bukan hal yang ingin dibincangkan di sini.

Mahdzir Ibrahim, Ahli DAP yang mendukung seni dan kebudayaan