Berita

PR Johor gesa kerajaan negeri pertahan ekonomi tradisi

NUSAJAYA, 21 NOV: Kerajaan Johor perlu mempertahankan ekonomi tradisi seperti pertanian dan perikanan untuk keperluan generasi akan datang, kata Ketua Pembangkang DUN Johor Dr Boo Cheng Hau.

Dr Boo berkata, pelan induk pertanian perlu dibuat bagi mengimbangi penggunaan tanah di negeri ini dan dilestarikan bersama pembangunan perumahan, industri, komersil dan rekreasi.

Katanya, satu Tabung Relief Kontigensi Pertanian, Penternakan dan Perikanan perlu diwujudkan bagi membantu petani, nelayan dan penternak haiwan sebagai persediaan terutama sewaktu sektor tersebut dilanda krisis.

Perkara tersebut dinyatakan Dr Boo dalam kertas kerja ‘Fokus 5 Pembangunan Lestari’ yang dibentangkan Pakatan Rakyat, sebagai alternatif kepada belanjawan Johor 2015 yang dibentangkan minggu ini.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai itu juga menggesa satu jawatankuasa kerja peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diwujudkan bagi menangani masalah pencemaran sungai di Johor.

“Kami tidak menolak sebarang bentuk pembangunan termasuk Forest City. Namun pembangunan tersebut hendaklah memenuhi beberapa syarat.

“Ia termasuk Dasar Perumahan Rakyat Johor yang diperkenalkan pada 2013, iaitu 40 peratus daripada unit pembangunan merupakan rumah kos rendah dan mampu milik.

“Pembangunan tidak boleh menjejaskan kualiti alam sekitar dan sumber pendapatan rakyat yang menerima kesan langsung atau tidak langsung daripada projek yang dijalankan.

“Kami bersedia bekerjasama untuk menubuhkan jawatankuasa terpilih alam sekitar bagi menyemak dan mengkaji Kajian Terperinci Kesan Alam Sekitar (DEIA),” katanya lagi.

Taman Negara sebagai pusat pelancongan, perikanan

Selain itu PR Johor turut membangkitkan isu Taman Negara Pulau Kukup dan Tanjung Piai yang perlu segera diwartakan sebagai tapak Ramsar, serta diberikan peruntukan munasabah bagi memuliharanya sebagai tarikan pelancongan dan penyumbang industri perikanan.

Tapak Ramsar adalah tapak tanah lembap yang diwartakan agar kerja pemuliharaan dan potensi alam semula jadi dapat dilaksanakan. Ia diperkenalkan di Persidangan Ramsar (Konvensyen mengenai Tanah Lembap yang Berkepentingan Antarabangsa, terutama sebagai Habitat Unggas Air) yang ditandatangani di Ramsar, Iran pada 2 Februari 1971.

Sehingga kini kira-kira 9,126 hektar hutan bakau Sungai Pulai masih dalam proses pewartaan sebagai tapak Ramsar.

Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) menjangkakan hasil perikanan di kawasan hutan bakau Sungai Pulai berjumlah RM 1.7 billion setahun.

Selain itu, kerajaan negeri juga perlu menguatkuasakan langkah mencegah pencerobohan di 13,561 hektar hutan paya laut dan dataran lumpur di persisiran pantai Selat Melaka dan Taman Negara Pulau Kukup yang diluluskan pada 2005 sebagai Hutan Simpanan Kekal.

“Penguatkuasaan lebih ketat untuk mengelak hakisan pantai, pencerobohan tanah, penebangan hutan bakau secara haram serta memelihara industri perikanan lestari perlu demi kepentingan generasi akan datang,” kata Dr Boo lagi. – Roketkini.com