Berita

Jika DAP dituduh politikkan 1MDB, adakah Mahahir pun sama juga?

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim mengecam tuduhan Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee yang mendakwa DAP cuba mempolitkkan isu 1MDB.

Beliau berkata, dakwaan kononnya DAP sengaja berbuat demikian untuk mencemar imej dan reputasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terbukti tidak benar kerana Tun Dr Mahathir sendiri turut mempersoalkannya.

“Apakah Syed Ali akan mengatakan bahawa Mahathir juga telah mempolitikkan isu 1MDB untuk memburukkan imej Najib?,” tegasnya.

Naib Pengerusi DAP itu turut membidas Syed Ali yang takut menyahut cabarannya supaya membahaskan tentang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU), 25 November ini.

Katanya, pimpinan Umno termasuk Syed Ali harus berani untuk membahaskan skandal tersebut dan bukannya mengambil langkah selamat menyembunyikan kebimbangan dengan menyerang DAP.

“Isu-isu berkaitan 1MDB yang dibangkitkan DAP termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir sendiri adalah sangat serius, sebab itu ia harus dibahaskan perwakilan Umno.

“Respon Syed Ali semalam terhadap cabaran saya jelas menunjukkan satu fakta yang mudah, iaitu dia memang tidak berani untuk membangkitkan isu`1MDB di PAU 2014.

“Dalam ketakutan dan mahu menyembunyikan hakikat ini, dia memilih membuat serangan tidak berasas terhadap DAP dan saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau sekali lagi turut mempersoalkan tindakan Umno menjadikan sekolah vernakular sebagai antara topik perbahasan utama.

“Adakah sekolah vernakular dijadikan ‘kambing hitam’ kepada kegagalan dasar kerajaan untuk mewujudkan perpaduan nasional yang tulen?

“Jika Umno berminat dan mengambil berat tentang isu pendidikan sekolah, mereka boleh membincangkan secara rasional mengapa sekolah kebangsaan telah gagal menjadi pilihan utama ibu-bapa.

“Atau mengapa pemimpin Umno sendiri menghantar anak-anak mereka ke sekolah swasta dan antarabangsa?,” soalnya.  -Roketkini.com