Rencana

Membudayakan politik budiman

Realiti mutakhir ini, wujud kecenderungan yang kuat di kalangan anak muda Malaysia yang menolak politik, atau lebih tepat politik kepartian, kerana meluat dengan gelagat sebahagian ahli politik yang pada hemat mereka tidak mencerminkan kualiti yang diharapkan.

Realiti ini merupakan berita mendung buat parti-parti politik di Malaysia memandangkan generasi muda merupakan majoriti daripada keseluruhan komposisi penduduk Malaysia.

Menurut data yang dikemukakan oleh Welsh dan Chang pada tahun 2012, jumlah penduduk di Malaysia berumur di bawah 30 tahun adalah sebanyak 63%. Sekiranya kita mahu mengambil usia 40 tahun ke bawah sebagai umur maksimum belia di negara kita, maka komposisi anak muda di Malaysia semestinya lebih besar.

Sungguhpun demikian ini bukan bermakna anak-anak muda tidak mahu terlibat dengan proses politik. Bahkan anak-anak muda di Malaysia ketika ini sangat vokal dan kritikal mendepani isu-isu politik – terutamanya di media-media sosial – walaupun mereka tidak begitu berminat menyertai satu-satu parti politik.

Kemunculan kumpulan-kumpulan anak muda independen, tanpa hierarki dan tanpa ketua terutamanya dalam siri-siri demonstrasi rakyat wajar diberikan perhatian malah didampingi untuk memahami suara, pandangan dan hasrat mereka.

Justeru para pemain politik memerlukan pendekatan politik baru yang lebih jujur, segar dan lebih dekat dengan realiti anak-anak muda. Pendekatan yang saya boleh istilahkan sebagai ‘Politik Budiman’ ini dirasakan cocok dengan tuntutan politik semasa yang mahu dilihat ‘bekerja dan kurang kontroversi’.

‘Budiman’ ditakrifkan sebagai berbudi, berakal dan bijaksana. Justeru, konsep Politik Budiman bertitik tolak daripada asas-asas berikut.

i. Politik berasaskan hujah dan ilmu;

ii. Membudayakan adab al-ikhtilaf (ethics of disagreement) dalam mengurus perbezaan pandangan politik;

iii. Berpolitik dengan akhlak dan etika yang tinggi. Jauhi politik fitnah dan caci maki;

iv. Budaya syura sebagai kunci muafakat;

v. Inklusif dalam membina jaringan dalam masyarakat;

vi. Jujur dan berani menyelesaikan konflik; dan

vii. Integriti dan akauntabiliti.

Konsep atau gagasan Politik Budiman yang merangkumi asas-asas komponen idea, akhlak, jujur dan berintegriti ini merupakan satu reformasi atau islah kepada budaya politik sedia ada kepada budaya politik yang lebih matang dan membina.

Gagasan ini adalah suatu usaha yang serius untuk menarik anak muda Malaysia yang sangat dahagakan perubahan gaya dan corak berpolitik dan pada masa yang sama mereka boleh terlibat sama menyumbang tenaga dan idea bagi meraih Malaysia yang lebih baik.

 Warga politikus perlu bersedia untuk merubah kaedah dan gaya berpolitik. Tabiat dan kebiasaan lama hanya akan menjauhkan politikus dengan kelompok terbesar di Malaysia ini. Perubahan ini perlu datang dengan kejujuran dan kesediaan untuk berkhidmat.

Sebarang kepura-puraan atau hipokrasi hanya akan menambah rasa meluat dan jelek anak-anak muda kepada politik kepartian. Perubahan ini tidak hanya berskala ‘perlu’, malah telah sampai ke peringkat ‘wajib’ atau ‘mesti’.

Suhaizan Kaiat, Ketua Pemuda PAS