Berita

Setelah rugi RM4 bilion, Ahmad Maslan jangan memandai ramal 1MDB akan untung

KUALA UMPUR, 24 NOV: Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan tidak harus menjanjikan bahawa 1MDB mencatat keuntungan setelah syarikat itu rugi RM4 bilion.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, sejak 2011 keuntungan keseluruhan 1MDB hasil penilaian semula hartanah yang dijual pada nilai lebih rendah oleh kerajaan.

Menurutnya pada tahun 2011 syarikat itu mencatat keuntungan RM544 juta hasil penilaian semula hartanah pada kadar RM827 juta.

Manakala pada 2012 dan 2013, 1MDB mencatat keuntungan RM45 juta dan RM778 juta hasil penilaian semula hartanah masing-masing berjumlah RM570 juta dan RM2,736 juta.

Bagi tahun kewangan terbaru, 1MDB mengalami kerugian RM665 juta walaupun penilaian semula pada kadar RM897 juta.

“Sementara mencatat keuntungan bersih terkumpul RM690 juta sepanjang 2011-2014, kerugian terkumpul 1MDB ialah RM4.33 bilion dari penilaian semula hartanah di bawah paras harga semasa.

“Halangan satu pusingan lagi penilaian semula aset hartanah akan menyebabkan syarikat itu terbeban pada 2015, kerana keuntungan operasi dari loji tenaga jauh mengatasi faedah hutang RM42 bilion,” kata Pua dalam kenyataan.

Menurutnya, pada 2014 pembiayaan kewangan 1MDB meningkat kepada RM2.4 bilion, namun pendapatan operasinya berjumlah RM37 juta, manakala dividen pelaburan dan faedah berjumlah RM751 juta.

“Tanpa mengambil kira penilaian semula hartanah, 1MDB akan kehilangan RM1.61 bilion.

“Bagi 2015, pendapatan operasi 1MDB tidak meningkat kerana loji janakuasa tidak dibina lagi. Pada masa sama, pembinaan Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia belum bermula.

“Oleh kerana kos pembiayaan dijangka lebih tinggi disebabkan penyusunan semula pinjaman, 1MDB harus bersyukur jika kerugian mereka tidak lebih tinggi bagi tahun berakhir Mac 2015.

Pua mengingatkan Ahmad Maslan tidak memandai-mandai bahawa 1MDB akan kembali mencatatkan keuntungan bagi tahun kewangan akan datang.

“Beliau tidak seharusnya menyembunyikan prestasi pulangan 1MDB yang teruk dengan mendakwa syarikat itu berbelanja RM382 juta untuk projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

“Wang dibelanjakan untuk CSR bukan dari keuntungan tunai, sebaliknya diperolehi dari hutang 1MDB yang sebahagian besarnya dijamin oleh kerajaan.

“Ahmad Maslan perlu meneliti laporan kewangan dan memahami punca kerugian 1MDB sebelum mengulas lanjut mengenai perkara ini,” ujarnya. – Rokettkini.com