Berita

Skandal PKFZ: Mengapa saman RM720 juta ditarik balik?

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) Tan Sri Kong Cho Ha diidesak menjelaskan keputusan menarik balik saman RM720 juta terhadap Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB)).

Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming hari ini berkata, sebagai Pengerusi baru PKA, Cho Ha harus menjelaskan keputusan mengejutkan itu kerana ia melibatkan harta awam.

“Ini merupakan satu keputusan paling mengejutkan yang mesti dijelaskan secara terbuka oleh Cho Ha,” kata Kia Ming dalam satu kenyataan.

Keputusan PKA menarik saman tersebut dibuat dua bulan selepas Cho Ha dilantik pengerusi Lembaga.

PKA merupakan agensi di bawah Kementerian Pengangkutan dan Cho Ha merupakan bekas menteri pengangkutan.

Kian Ming berkata demikian merujuk laporan The Edge Financial Daily mengenai keputusan PKA 21 November lalu untuk menarik semula saman RM720 juta terhadap KDSB dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Laporan itu menyatakan bahawa ahli lembaga pengarah PKA sebulat suara bersetuju untuk tidak meneruskan saman dalam satu mesyuarat khas di Putrajaya, Jumaat lalu.

Kata Kian Ming, PKA menanggung kerugian RM201 juta bagi tahun kewangan 2013 dan telah memiliki kerugian terkumpul RM674 juta sejak 2010.

Tegasnya, PKA tidak mampu bertahan jika kerajaan tidak memberikan bantuan melalui pinjaman jangka panjang dengan kaedah faedah rendah sebanyak 4 peratus setahun dan bayaran faedah tertunda sehingga 2018.

“Jika PKA mampu mendapatkan semula sebahagian RM720 juta, ia akan membantu mengurangkan beban kewangan dan dapat membayar semula sebahagian hutang jangka panjang kepada kerajaan,” ujarnya.

Laporan Tahunan PKA 2013 menunjukkan RM1.82 bilion diperuntukkan sebagai aset luar jangka yang boleh dituntut semula jika kes saman sivil terhadap KDSB berjaya.

Justeru itu, Kian Ming menggesa Kementerian Kewangan menjelaskan perkara ini dan mengapa wakil lembaga pengarah mereka (Datuk Dr Mohd Isa Hussain) tidak hadir dalam mesyuarat PKA ketika keputusan pengguguran sama dibuat.

“Semua bantuan kewangan semasa dan masa depan serta sokongan diberikan kepada PKA tentunya datang dari Kementerian Kewangan dan apabila wakil mereka tidak hadir ketika keputusan penting dibuat, pastinya ada sesuatu yang tidak kena,” tegasnya.

PKA memfailkan saman terhadap KDSB pada 25 September 2009 dalam mencari kebenaran perjanjian ditandatangani pada 12 November 2002 bagi tanah bernilai RM1.88 bilion.

Lembaga itu menuntut satu deklarasi agar mereka tidak dikenakan faedah RM720 juta baki harga pembelian tanah dan menuntut pengembalian faedah yang dibayar kepada KDSB. – Roketkini.com