Berita

Batal kelulusan melombong kepada syarikat China

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Kerajaan Pusat, kerajaan Terengganu dan Pahang perlu membatalkan kelulusan diberi kepada syarikat China, CAA Resources untuk melombong bijih besi di dua negeri itu.

Ia berikutan pengakuan Pengarah Eksekutif CAA Resources Li Yang di The New York Times 19 November lalu mendedahkan amalan rasuahnya, termasuk membeli pingat Dato’ bagi mendapatkan kelulusan itu.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua berkata, pengakuan terbuka itu cukup untuk kerajaan negeri membatalkan permit melombong, serta kerajaan pusat membatalkan kelulusan diberikan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).

“Sementara kenyataan beliau memalukan negara di peringkat antarabangsa, lebih penting ia pengakuan jelas penglibatannya dalam amalan rasuah di Malaysia.

“Pengakuan beliau membayar untuk mendapat Dato’ kepada pemimpin BN bagi menjalin hubungan dengan mereka dan kerabat Diraja, malah mengatakan ia amalan biasa, cukup menjadi sebab kelulusan itu ditarik balik,” kata Pua dalam satu kenyataan.

Menurut laporan The New York Times itu, Li, 27 tahun mengaku membayar pemimpin BN melalui pegangan tidak langsung (indirect stake) bernilai kira-kira RM335,000 (USD100,000) untuk menerima pangkat Datuk.

Memetik laporan itu lagi, Li mengatakan beliau hanya mengikut ‘amalan biasa’ di Malaysia dan boleh ‘melakukan apa sahaja selagi mendapat sokongan pemimpin parti pemerintah dan kerabat Diraja’.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, kerajaan pusat dan negeri tidak perlu menunggu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan.

“Kita mengalu-alukan kenyataan SPRM untuk menyiasat isu ini secara serius…Namun kerajaan pusat dan negeri perlu segera menarik balik kelulusan yang diberikan.

21 November lalu Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mohd Jamidan Abdullah berkata SPRM akan bertemu Li Yang untuk menyiasat isu itu.

“Kerajaan perlu menunjukkan komitmen bahawa negara tidak akan bertoleransi dengan kegiatan rasuah.

“Tunjukkan negara negara kita bukan untuk dijual. Kami yakin bukan CAA Resources sahaja berminat dengan sumber asli negara. Peluang ini perlu dibuka kepada syarikat tempatan mahu pun antarabangsa melalui tender terbuka,” ujar Pua. – Roketkini.com