Berita

Makin lama Umno berkuasa, makin cepat Melayu jadi ‘Red Indian’

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Datuk Husam Musa mengecam keras kenyataan tidak berasas bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad yang mendakwa orang Melayu bakal menjadi ‘Red Indian’ jika PAS dan Umno tidak bekerjasama.

Naib Presiden PAS itu berkata, kenyataan itu dangkal sama sekali kerana orang Melayu sebenarnya bertambah parah jika berterusan terperangkap dengan mainan politik perkauman dan perang saraf Umno.

“Jika Umno dibiarkan terus memerintah, maka makin cepatlah orang Melayu jadi ‘Red Indian’.

“Apa yang terjadi terhadap umat Islam dan Melayu sekarang ini bukti kegagalan pemerintahan Umno selama enam dekad.

“Adakah kita mahu biarkan mereka berterusan memerintah selama 100 tahun lagi,” katanya dalam forum ‘Apakah Melayu dan Islam Diancam?’, di Hotel Mandarin Court, malam tadi.

Beliau menegaskan, PAS tidak mungkin bekerjasama dengan parti yang mengamalkan dasar perkauman seperti Umno.

“Asas perjuangan kita sangat berbeza. Macam mana bekas Ketua Hakim boleh beri cadangan begitu? Islam tidak mengamalkan perkauman, tetapi (Islam) untuk semua.

“Islam agama universal tetapi Umno semata-mata untuk Melayu. Nama mereka sendiri sudah menggambarkan siapa mereka ‘United Malay’,” ujarnya.

Pada 23 November lalu, Abdul Hamid menyatakan orang Melayu berisiko menjadi ‘Red Indian’ di tanah air sendiri jika PAS dan Umno tidak bekerjasama mempertahankan kerajaan daripada DAP dan PKR.

Beliau berkata, jika Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Putrajaya, PKR dan PAS tidak akan dapat ‘mengawal’ DAP seperti cara Umno ‘mengawal cita-cita MCA dan Gerakan’. – Roketkini.com.