Berita

Perlembagaan lindungi orang Melayu – Dr Aziz Bari

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Selama mana Perlembagaan Persekutuan menjadi asas negara, selagi itulah orang Melayu tidak perlu takut dengan momokan ancaman, kata pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari.

“Mengikut Perlembagaan, tiada sesiapa yang dapat hapuskan hak Melayu. Walaupun dengan 100 peratus undi di Dewan Rakyat, ia tetap memerlukan perkenan Majlis Raja-raja Melayu,” katanya.

Beliau juga menyatakan rasa hairan bagaimana isu menghapuskan hak bumiputera itu boleh timbul.

“Bila isu ini timbul? Tiada sesiapa pun yang pernah bangkitkannya. Yang menjadi isu adalah adakah hak yang dijamin itu benar-benar sampai ke sasaran.

“Lebih 50 tahun hak (dijamin Perlembagaan), orang Melayu masih miskin, lapar. Apa sudah jadi dengan hak ini?” katanya ketika menjawab soalan hadirin berhubung isu itu.

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan menyebut, ‘Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

Ia dipersetujui Lim Kit Siang yang berkata, dasar DAP jelas menyokong hak bumiputera dan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang dinyatakan Perlembagaan.

Sokong pihak yang pertahan Perlembagaan 

Justeru, Abdul Aziz menyeru orang Melayu agar menyokong Pakatan Rakyat yang mempertahankan Perlembagaan dan bukan pihak yang boleh memindanya demi kepentingan politik semata-mata.

“Soal masa depan orang Melayu dan Islam, ini dijamin Perlembagaan.

“Maka lebih selamat negara memiliki Perdana Menteri dari DAP yang patuh dan hormat kepada Perlembagaan, berbanding orang Melayu dan Islam daripada Umno yang menganggap Perlembagaan sebagai kertas buruk semata-mata,” katanya lagi.

Beliau mengungkap peristiwa tahun 1994, apabila kerajaan di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad meminda kuasa Raja-raja Melayu tanpa melalui Majlis Raja-raja Melayu.

“Walaupun pindaan itu masuk dalam Perlembagaan, bagi saya ia tidak sah (kerana tidak melalui Majlis Raja-raja),” katanya lagi.