Berita

Persempadanan semula: Pulau Pinang mahu prinsip adil, parlimen efektif

GEORGE TOWN, 26 NOV: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diseru mematuhi prinsip ‘persempadanan adil, parlimen efektif’ (fair delineation, effective parliament) dalam cadangan persempadanan semula yang dikemukakan.

Jawatankuasa Urusan Persempadanan Semula Bahagian Pilihanraya Mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang menegaskan, SPR harus mengambil perancangan yang teliti dengan mematuhi prinsip yang adil iaitu ‘satu orang, satu undi, satu nilai’.

“Persempadanan semula kerusi Parlimen dan DUN adalah isu yang sangat besar. Ia  melibatkan rombakan besar kepada kawasan pengundian yang melibatkan kesemua 12 juta pengundi.

“Maka SPR harus berwas-was apabila ingin mengemukakan sebarang cadangan baru pertambahan kerusi,” ujarnya.

Kenyataan bersama tiga wakil parti Pakatan Rakyat mewakili kerajaan negeri Pulau Pinang itu dikeluarkan Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen Parit Buntar (PAS), Ng Wei Aik, Ahli Parlimen Tanjong (DAP) dan Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin (PKR).

Tambahnya, SPR harus menjalankan rundingan secukupnya sebelum menjalankan kerja-kerja persempadanan semula dan bertemu kerajaan negeri untuk memastikan proses ini berjalan lancar.

“Sebagai wakil kerajaan negeri Pulau Pinang ingin menyeru SPR mencadangkan persempadanan semula dengan mematuhi prinsip ‘persempadanan adil, parlimen efektif’ (fair delineation, effective parliament).

“Kami bersedia untuk menasihati dan membantu SPR dalam kerja-kerja persempadanan semula secara adil.

“Setakat ini, SPR masih belum menghubungi pihak kami mahupun kerajaan negeri Pulau Pinang untuk membincangkan persempadanan semula kerusi Parlimen dan kerusi DUN di negeri Pulau Pinang.

“Kami ingin menyeru pihak SPR supaya berjumpa dengan kami secepat mungkin,” tegas kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu kenyataan itu memaklumkan dua perbincangan meja bulat akan diadakan bagi mengumpul maklum balas dan aspirasi rakyat negeri Pulau Pinang dalam soal persempadanan semula kawasan DUN dan Parlimen.

Sesi pertama akan diadakan di Kompleks Masyarakat Penyayang pada 17 Disember 2014. manakala kedua pada 18 Disember 2014 di Kompleks Badawi di Bagan.

“Kedua-dua sesi ini terbuka kepada semua orang awam, NGO-NGO dan parti-parti politik yang ingin memberi maklum balas kepada jawatankuasa kami.

“Kami juga mengalu-alukan wakil SPR hadir jika ingin menerangkan proses persempadanan semula,” tambah kenyataan itu. – Roketkini.com