Berita

Timbalan Menteri Dalam Negeri tak faham penderitaan pelarian di Malaysia

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak memahami hak pelarian yang dijamin oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)

Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming berkata, Wan Junaidi gagal menjawab dua soalan dibangkitkannya mengenai dokumentari Malaysia Unwanted yang disiarkan Al-Jazeera 101 East berhubung layanan terhadap pelarian di Malaysia.

“Semalam, saya bangkitkan dua kisah yang dipaparkan dokumentari itu, menunjukkan Malaysia telah melanggar Konvensyen Hak Anak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

“Pertama, tentang seorang pelarian Myanmar yang dilokap tidak lama selepas melahirkan anak dan terpaksa berpisah dengan anaknya itu.

“Kedua, tentang tahanan Afghanistan hanya dibenarkan berjumpa anaknya yang turut ditahan sekali dalam sebulan. Selepas setahun, anaknya tidak mengenalinya lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

“Wan Junaidi hanya menjawab anak itu terpaksa ditahan dengan alasan agar dekat dengan bapanya.

“Ini mengabaikan syarat khusus dalam Konvensyen itu, untuk melindungi kebebasan anak. Anak hanya boleh ditahan sebagai jalan terakhir dan untuk tempoh pendek sahaja,” katanya.

Kata Kian Ming, alasan itu tidak terpakai dalam kes pelarian Afghanistan tersebut, memandangkan anaknya bukan sahaja ditahan lebih setahun, malah hanya dibenarkan berjumpa bapanya sekali dalam sebulan.

“Lebih malang, anaknya itu tidak mengenali bapanya lagi,” katanya yang jelas kecewa dengan jawapan Wan Junaidi.

Justeru itu, jawapan Junaidi membuktikannya tidak memahami betapa serius pendedahan Al-Jazeera itu, dan tidak memahami Konvensyen PBB yang ditandatangani Malaysia.

“Mungkin beliau tidak menontonnya. Walhal, beliau sendiri ditemubual untuk dokumentari tersebut,” kata Kian Ming.

Malaysia langgar 6 perkara Konvensyen Hak Anak PBB

Mengulas lanjut, Kian MIng menyatakan enam perkara termaktub dalam konvensyen itu telah dilanggar pihak berkuasa Malaysia.

Antaranya, Artikel 8 yang menyatakan pihak bertanggungjawab perlu menghormati hak anak untuk mengekalkan identiti, termasuk kewarganegaraan, nama dan pertalian keluarga dan perlu dibantu jika ia dinafikan.

Selain itu, Artikel 9 menyatakan anak tidak boleh dipisahkan daripada ibu bapa tanpa persetujuan kecuali ada arahan mahkamah, manakala Artikel 10 menyebut anak yang dipisahkan itu mendapat perlindungan istimewa dan bantuan khas daripada kerajaan.

“Penderitaan pelarian di Malaysia bukan perkara baru. Jjika sikap kerajaan terus dalam penafian berhubung isu ini hanya menambah penderitaan pelarian dan merosakkan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa,” ujar Kian Ming. – Roketkini.com