Berita

Khairy, siapa bukan Melayu tak hormat perjanjian?

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Kenyataan Ketua Pemuda Umno mendakwa kaum bukan Melayu tidak menghormati perjanjian hanyalah retorik politik atas kelemahan diti sendiri.

Ketua Pemuda DAP Teo Kok Seong dalam satu kenyataan berkata, jika benar kenyataan Khairy itu, beliau mencabar Menteri Belia dan Sukan itu menamakan secara terbuka pihak mana yang dikatakan ‘tidak menghormati perjanjian’.

“Amat memalukan jika beliau dengan mudah membuat dakwaan secara pukal kepada mana-mana pihak, hanya kerana mahu dilihat sebagai seorang Hero Melayu,” katanya.

Dalam ucapan dasarnya di perhimpunan agung Pemuda Umno, Khairy berkata orang Melayu berkorban dengan memberi kerakyatan kepada bukan Melayu sewaktu negara mencapai kemerdekaan.

Sebagai balasannya, orang bukan Melayu bersedia menerima kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan kedaulatan Raja-raja Melayu.

Dalam pada itu kata Teo, seandainya yang dimaksudkan Khairy sebagai ‘mempertikai’ sama dengan ‘tidak menghormati perjanjian’, jelas beliau wajib kembali ke bangku sekolah.

“Apa jua isu yang berkaitan persoalan atau pertikaian, seharusnya tidak dianggap sebagai ‘tidak menghormati’ mana-mana pihak.

“Adalah lumrah bagi sesiapa pun untuk mempunyai perbezaan pendapat dan ia tidak harus dianggap sebagai sesuatu yang melanggar prinsip keadilan dan perlembagaan apatah lagi dilihat sebagai suatu ancaman,” tegas Teo.

Ujar Teo, Pemuda DAP menjunjung dan menghormati prinsip keadilan dan juga Perlembagaan Persekutuan sebagai asas pembentukan Malaysia.

“Kami tidak pernah menyalahkan mana-mana kaum atas apa jua masalah baik hal ekonomi, sosio budaya, politik mahupun agama. Yang kita persalahkan adalah sistem dan mereka yang mendukung sistem yang korup,” tegasnya.

Khairy macam Shariff Dol, samseng Kampung Dusun

Kata Ahli Parlimen Rasah itu lagi, Khairy seharusnya menghormati perjanjian di antara Kerajaan Persekutuan dengan negeri Sabah dan Sarawak dalam aspek pembangunan ekonomi dan sosial.

“Negeri-negeri ini seharusnya dilayan dengan adil dan penuh hormat. Namun sehingga kini, kedua-dua negeri yang kaya sumber alam ini tetapi lebih miskin berbanding negeri-negeri lain,” katanya lagi.

“Tidak molek bagi Khairy untuk menjadi jaguh seakan-akan Shariff Dol samseng Kampung Dusun yang hanya tahu bertempik dan mencari salah pihak lain.

“Jika begini sikap dan mentaliti Ketua Pemuda Umno, tidak hairan kenapa berduyun-duyun anak muda Melayu menyertai DAP,” ujarnya.