Berita

Khairy tuduh parti cauvinis, tapi makin ramai Melayu sertai DAP

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Tuduhan Ketua Pemuda Umno kononnya DAP sebagai parti cauvinis tidak mengurangkan, malah menarik minat dan keahlian lebih ramai anak muda Melayu untuk menyertai DAP.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, sebaliknya Umno yang terus menjadi parti eksklusif kepada orang Melayu Bumiputera dan tidak kepada bukan Melayu.

“Bukankah kejayaan menarik minat anak muda Melayu suatu isyarat positif bahawa DAP bukanlah cauvinis mahupun perkauman, tetapi sebuah parti politik berbilang kaum yang berjuang demi seluruh rakyat Malaysia?” kata Guan Eng dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Khairy memilih jalan gelap ekstremis seperti Perkasa apabila menggunakan ucapan dasarnya untuk menyalahkan orang bukan Melayu yang kononnya mempersoalkan status raja-raja Melayu, hak dan kedudukan istimewa orang Melayu serta kedudukan rasmi Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan.

“Menyalahkan orang bukan Melayu adalah pengkhianatan dan politik jahat Khairy. Ternyata dusta dan berniat jahat untuk menyatakan orang bukan Melayu mempersoalkan hak yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“(Sedangkan) Umno sendiri pernah mempertikai kedudukan dan hak Raja-raja Melayu di awal 90-an,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi.

Katanya lagi, Khairy mengambil jalan mudah menggunakan sentimen perkauman kerana tidak mempunyai jawapan dan sedar bahawa Umno bukanlah sebahagian daripada penyelesaian, malah punca masalah sebenar.

Mengapa tak bahas isu ekonomi?

Guan Eng juga merujuk Laporan Pembangunan Manusia 2013 yang menunjukkan 53 peratus isi rumah Malaysia tidak memiliki aset kewangan, manakala satu dalam setiap tiga warganegara tidak mempunyai sebarang jenis akaun bank.

Laporan itu turut mendedahkan isi rumah luar bandar yang mencatat angka tertinggi di kalangan mereka yang tidak mempunyai aset kewangan (63%)  berbanding 45% isi rumah di bandar.

Mengikut pecahan etnik, sekitar 57 peratus Bumiputera bukan Melayu dan 55 peratus Melayu tidak mempunyai aset kewangan, manakala bagi kaum Cina (45%) dan India (44%).

Memetik Bancian Pendapatan Isi Rumah, hampir 90 peratus dan 86 peratus isi rumah luar bandar tidak mempunyai simpanan, sementara itu majoriti isi rumah pada kadar 88 peratus tidak memperolehi pendapatan daripada simpanan mereka.

Data KWSP setakat 2013 menunjukkan 90 peratus rakyat Malaysia menghampiri usia pencen tidak mempunyai dana mencukupi bagi mengekalkan hidup asas untuk lebih lima tahun.

Kata Guan Eng lagi, simpanan rendah ini menunjukkan hakikat majoriti rakyat Malaysia mendapat gaji rendah dam agihan gaji bulanan menunjukkan pada 2013, satu pertiga atau 2.1 juta pencarum KWSP memperolehi kurang daripada RM1,000.

Manakala lebih kurang tiga suku (76.8%) pencarum pula memperolehi kurang daripada RM3,000.

“Kenapa Khairy tidak berucap mengenai laporan ini yang memberi kesan langsung kepada masa depan ekonomi rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda termasuk Melayu dan Bumiputera?” soalnya lagi. – Roketkini.com