Berita

Kekal Akta Hasutan, bukti UMNO bukan parti perubahan

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Tindakan ‘u-turn’ Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak mengotakan janjinya untuk memansuhkan Akta Hasutan membuktikan bahawa UMNO bukanlah parti perubahan, kata Naib Pengerusi DAP Teresa Kok Suh Sim.

“Hakikat yang nyata adalah Najib sebenarnya telah tunduk kepada sayap kanan dan elemen konservatif dalam partinya sendiri.

“Najib jelas tidak mempunyai keberanian dan tunduk kepada partinya sendiri yang ternyata tidak boleh diubah walaupun sering mencanang bahawa UMNO-BN perlukan pembaharuan,” kata Teresa dalam satu kenyataan, hari ini.

Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh menyatakan, tindakan itu membuatkan rakyat tertanya-tanya Najib masih komited kepada konsep kesederhanaan, atau sama ada wujud pendakwaan terpilih di bawah Akta Hasutan tidak lama lagi.

Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini berkata, Najib seharusnya meramal pendirian keras sebahagian penyokong BN menentang rancangannya untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan undang-undang keselamatan yang lain.

Ini kerana mereka ingin mengekalkan cara lama dan menutup mulut pengkritik.

Abdullah berkata demikian dalam ucapannya ketika menerima ijazah kehormat doktor falsafah pertama di Universiti Malaysia Kelantan pada September 2011.

Tambah Abdullah usahanya sebelum ini untuk melaksanakan pembaharuan bukan sahaja menerima tekanan ‘dari luar’, bahkan dari dalam.

Dalam pada itu Teresa mengecam alasan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menyalah rakyat sebagai punca mengapa Najib memutuskan untuk mengekalkan akta kuno tersebut.

Rahman hari dilaporkan hari ini berkata, Najib memang mahu memansuhkan Akta Hasutan, namun malangnya rakyat tidak menyambut niat sucinya itu.

“Alasan ini tidak munasabah dan tidak boleh diterima sama sekali,” ujarnya. – Roketkini.com