Berita

Kes pembalakan haram, penyelewengan Yayasan Sabah dilapor ke SPRM

KUALA LUMPUR, 28 NOV: DAP Sabah menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat aktiviti pembalakan haram dan penyelewengan Yayasan Sabah berikutan penemuan 14 bangkai gajah di Hutan Simpan Gunung Rara, tahun lalu.

Pengerusi DAP Negeri Jimmy Wong Sze Phin, Timbalan Pengerusi Stephen Wong Tien Fatt dan Naib Pengerusi Chan Foong Hin semalam membuat laporan kepada SPRM di Putrajaya dan menggesa pihak berkenaan segera menjalankan siasatan.

Dalam laporan tersebut, mereka menegaskan tindakan undang-undang telah difailkan oleh Pengurus Alam Sekitar Yayasan Sabah (YS) Masturah Sulaiman terhadap majikannya.

YS sebelum ini sengaja memindahkan Masturah ke jabatan lain kerana membangkitkan kematian 14 ekor gajah tersebut.

Masturah menamakan tiga orang termasuk seorang pegawai utama Yayasan Sabah yang bertanggungjawab memindahkannya.

“Adakah kerana Masturah mengetahui terlalu banyak penyelewengan dalam Yayasan Sabah, maka dia dipaksa berpindah kepada bahagian lain yang tidak ada kena mengena dengan kepakarannya?

“Sehingga hari ini tidak ada sesiapa yang didapati bertanggungjawab, walaupun laporan makmal mendapati 14 gajah tersebut mati akibat keracunan.

“Payah sangatkah untuk menjejaki pergerakan gajah dan mengesan kontraktor kawasan tempat bangkai itu ditemui?,” kenyataan Jimmy dipetik.

DAP Sabah menyeru siasatan dibuat sekiranya wujud muslihat dan penyelewengan dalam Jabatan Perhutanan Sabah yang membawa kepada kematian gajah tersebut.

Ini kerana Pengarah Jabatan Perhutanan juga adalah ahli lembaga pengarah anak syarikat Yayasan Sabah, yang diberi konsesi Hutan Simpan Gunung Rara.

“Ini adalah konflik kepentingan. Adakah ini bermakna dia (pengarah) menebang pokok-pokok dan pada waktu sama memantau siapa yang menebang?,” soal Jimmy. – Roketkini.com.