Berita

Kekal Akta Hasutan, kemenangan pelampau dalam UMNO

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sanggup memungkiri janjinya memansuhkan Akta Hasutan adalah kemenangan bagi sayap kanan dan ekstrimis dalam UMNO.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, pengumuman itu menambah lagi penderitaan rakyat kerana akta tersebut akan diperkukuhkan lagi supaya lebih zalim dan menindas.

“Najib dipaksa tunduk kepada tekanan puak kanan dan elemen ekstrimis dalam UMNO yang kemudiannya melebarkan lagi agenda mereka untuk meletakkan sistem demokrasi dan transformasi negara ke belakang.

“Najib akan melakukan kesilapan besar jika dia merasakan tindakannya tunduk kepada puak kanan dan ekstremis berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam UMNO kerana realiti adalah sebaliknya,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, kenyataan bekas Menteri yang juga jurucakap puak kanan dan ekstemis UMNO, Zainuddin Maidin bahawa ‘revolusi senyap sedang berkembang dalam UMNO’ dan tepukan diterima bukan tanda sokongan, tetapi penolakan terhadap kepimpinan Najib.

Zainuddin dalam blognya zamkata.blogspot.com menyifatkan bahawa Najib mengharungi hari-hari akhirnya kepimpinannya selepas mengumumkan untuk mengekal Akta Hasutan.

“Nafas Najib kali ini adalah yang terakhir,” kata Zainuddin.

Sementara itu kata Kit Siiang, MCA, MIC dan Gerakan sama sekali tidak berperanan dalam Barisan Nasional, kerana keputusan menarik semula pemansuhan Akta Hasutan dibuat tanpa sebarang rundingan bersama ketiga-tiga parti tersebut.

Dalam masa sama pandangan parti komponen, juga rakyat Sarawak dan Sabah tidak diendahkan dalam proses membuat keputusan itu.

Najib dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Umno berkata, Akta Hasutan bukan sahaja akan hanya dikekalkan, bahkan akan diperkukuh untuk menangani seruan terhadap pemisahan Sarawak dan Sabah.

“DAP menentang sebarang seruan untuk pemisahan Sarawak dan Sabah dari Malaysia. dan saya bersetuju dengan pandangan Menteri Kemajuan Tanah Sarawak Tan Sri Dr James Masing bahawa hanya sebilangan kecil yang menganjurkan pemisahan Sarawak dan Sabah

“Namun tindak balas politik paling bijak adalah dengan mengetahui hasrat kumpulan-kumpulan itu tentang rasa tidak puas hati mereka.

“Janganlah dibunuh pembawa pesanan, dan kemudiannya mengabaikan pesanan itu sendiri,” ujar Kt Siang. – Roketkini.com.