Berita

Percayakah kita dengan janji Najib basmi rasuah, rapat jurang pendapatan?

GEORGE TOWN, 29 NOV: Jika dengan mudah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melanggar janji sebanyak tiga kali untuk menghapuskan Akta Hasutan, bolehkah dipercayai janji beliau untuk membasmi rasuah, mengurangkan hutang dan merapatkan jurang pendapatan.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut membangkitkan persoalan sama ada kata-kata Najib untuk tidak menutup sekolah Cina dan Tamil boleh dipercayai.

“Di mana komitmen UMNO untuk membasmi rasuah, atau sesetengah individu yang kekayaannya melimpah ruah tanpa diketahui sumbernya apabila perkara sebegini tidak dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung UMNO?

“Mengapa tidak pernah dibahaskan bagaimana seorang anak muda Malaysia bernama Jho Low boleh mampu menderma sebanyak US$25 juta kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu?

“Sewaktu mengumumkan Akta Hasutan tidak akan dihapuskan dan sebaliknya akan diperkukuhkan, Najib mendakwa bahawa keputusan itu dicapai setelah mendapatkan pandangan para pemimpin dan penyokong UMNO serta NGO.

“Kini komitmen (kepada) UMNO yang nampaknya lebih penting dan mustahak daripada apa saja janji yang mungkin dibuat oleh Perdana Menteri,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan.

Katanya, Najib mengecewakan rakyat Malaysia yang masih percaya kemampuannya sebagai pemimpin yang mengotakan kata-katanya, namun lebih mengecewakan reaksi pemimpin UMNO terhadap tindakan Najib memungkiri janji.

Ia termasuk Menteri Kesejahteraan Bandar dan Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan yang menyalahkan rakyat Malaysia sebagai punca Najib mengekalkan Akta Hasutan.

Rahman dilaporkan berkata, rakyat yang mengkhianati kepercayaan Najib dengan tidak memberikan beliau keyakinan untuk memansuhkan Akta Hasutan.

“Jika pemimpin UMNO mampu mendesak Perdana Menteri untuk mencabul janjinya sendiri, 28 juta rakyat Malaysia tidak lagi bersikap naif untuk terus bergantung harap bahawa Najib akan menepati janjinya,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Tegasnya, parti itu sepatutnya mendengar amaran dilontarkan bekas presiden parti dan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi bahawa UMNO tidak sepatutnya menyalahgunakan Akta Hasutan untuk mengekalkan kuasa.

“Kata Pak Lah hanya sokongan rakyat, bukannya pengekalan Akta Hasutan yang dapat memastikan kuasa UMNO. Kerana ‘jika rakyat tidak lagi menyokong kita, tiada undang-undang atas bumi Tuhan ini yang boleh menyelamatkan UMNO.

“Memang itulah gaya UMNO, menyalahkan pihak lain atas kesalahan mereka sendiri.

“Terutama apabila mereka mengecam dan menuduh masyarakat Cina menyebabkan UMNO hilang kerusi dalam pilihanraya meski pun pada hakikatnya orang Melayu sendiri tidak lagi menyokong UMNO,” ujar Guan Eng. – Roketkini.com.