Berita

Prinsip ketelusan perlu jadi asas utama penstrukturan MAS

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Prinsip ketelusan harus menjadi asas utama dalam penstrukturan semula Malaysia Airlines System (MAS) bagi memastikan ia mampu menamatkan kerugian syarikat penerbangan negara itu, kata Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming.

Dua hari lalu, Parlimen meluluskan Rang Undang-undang Malaysia Airlines System Berhad (Pentadbiran) 2014 bagi melaksanakan penstrukturan semula syarikat itu.

RUU itu antaranya memberi kuasa meluas kepada pentadbiran baru atau ‘NewCo’ yang akan menggantikan MAS.

Mengulas isu itu kata Kian Ming, kerajaan antaranya perlu membentangkan terma penstrukturan kewangannya kepada rakyat.

“Oleh kerana kedua-dua Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Pengarah Urusan Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar mengatakan suntikan kewangan RM6 bilion dari kerajaan bukan ‘bail out’, namun terma penstrukturan kewangannya perlu dibentangkan.

“Contohnya pembayaran MAS kepada tiga syarikat; Assets Global Network Sdn Bhd, Penerbangan Malaysia Berhad dan Turus Pesawat Sdn Bhd yang berperanan membeli aset (kapal terbang dan bangunan) dan menyewanya kembali kepada MAS,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketiga-tiga syarikat itu menanggung hutang terkumpul berjumlah RM12.1 bilion yang dijamin kerajaan.

“Sebarang perubahan pembayaran oleh ‘NewCo’ akan memberi kesan kepada kewangan kerajaan, maka kerajaan perlu telus dan memaklumkan terma itu kepada rakyat,” katanya lagi.

Selain itu, katanya lagi, pentadbiran baru juga perlu memastikan rundingan semula terhadap kontrak sebelumnya diadakan dengan adil dan saksama.

“Kebimbangan Ahli Parlimen Pakatan dua hari lalu bahawa kuasa ‘NewCo’ untuk berunding semula akan disalahguna untuk mengekalkan kontrak sebelum ini yang berat sebelah, seperti kontrak penyediaan makanan selama 25 tahun berjumlah RM6.25 bilion kepada Brahim’s Airline Catering.

“Maka, setiap rundingan semula oleh ‘NewCo’ perlu dibentangkan agar dapat dinilai,” katanya lagi.

Katanya lagi, pentadbiran baru juga perlu menjamin hak dan kebajikan pekerja MAS dilindungi.

“RUU ini juga membebaskan NewCo daripada kewajipan untuk terus mengambil pekerja MAS sedia ada berdasarkan syarat kontrak yang sama.

“Khazanah perlu memastikan pekerja dilayan dengan adi, sama ada akan diambil NewCo mahupun yang akan dilepaskan,” katanya lagi.

MAS mengalami kerugian bersih sebanyak RM433 juta untuk suku pertama tahun ini, dengan sebahagian besarnya disebabkan tragedi kehilangan MH370 menyebabkan permintaan berkurang.

Sepanjang tahun 2013 pula, syarikat itu mengalami kerugian keseluruhan RM1.17 bilion.

Dalam pada itu, Kian MIng menggesa Azman agar memberikan maklum balas berhubung isu ketelusan ini, memandangkan Azman sendiri berjanji akan sentiasa memberikan maklumat terbaru berhubung penstrukturan semula ini.

“Janji Azman itu baik dan perlu dipuji. MAS yang menguntungkan penting bagi negara, kerana ia akan menyumbang kepada negara melalui cukai, mengurangkan beban kewangan Khazanah dan menyediakan peluang pekerjaan,” katanya lagi. – Roketkini.com