Berita

Gobind puji langkah Selangor bayar gaji wakil rakyat yang digantung

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo mengalu-alukan cadangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor untuk mengembalikan gaji wakil rakyat ketika tempoh digantung sejak 2005.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Hannah Yeoh yang berkata, cadangan itu kini dalam pertimbangan.

“Ini adalah satu langkah ke arah yang betul,” kata Gobind dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, gaji wakil rakyat diperuntukkan dalam undang-undang dan menjadi hak mereka.

“Ia amat penting lebih-lebih lagi wakil rakyat tetap menjalankan tugas mereka sepanjang tempoh digantung daripada Parlimen.

“Malah ramai wakil rakyat hari ini adalah ahli politik sepenuh masa, bermakna mereka bergantung sepenuhnya dengan gaji tersebut.

“Maka adalah sesuatu yang salah bagi menafikan gaji mereka,” katanya Ketua Biro Undang-undang DAP itu lagi.

Mahkamah Persekutuan 3 November lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelumnya yang mengarahkan Parlimen Malaysia membayar semula gaji dan imbuhan Gobind Singh yang disekat, ekoran penggantungannya selama setahun pada tahun 2009.

Antara ADUN yang pernah digantung tanpa gaji di Selangor ialah ADUN Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Kim (18 bulan pada 2005), bekas ADUN Sungai Panjang Datuk Seri Mohamad Khir Toyo (setahun, 2009), bekas ADUN Batang Kali, Mohd Isa Abu Kasim (enam bulan, 2009), bekas ADUN Seri Serdang Datuk Satim Diman (enam bulan, 2009), bekas ADUN Sabak Datuk Warno Dogol (enam bulan, 2009), bekas ADUN Dengkil Datuk Marsum Paing (enam bulan, 2009) dan bekas ADUN Hulu Bernam Datuk Mohamad Idris Abu Bakar (enam bulan, 2009).

Dalam pada itu, Gobind turut berharap Parlimen mengikut jejak langkah DUN Selangor untuk mengembalikan gaji wakil rakyat sepanjang tempoh penggangtungannya.

“Seruan saya ini meliputi semua wakil rakyat tanpa mengira parti kerana ini adalah soal prinsip yang melangkaui fahaman politik,” katanya lagi. – Roketkini.com