Berita

Laporan polis akan dibuat terhadap perwakilan UMNO Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 30 NOV: Laporan polis akan dibuat terhadap perwakilan Pulau Pinang Datuk Mohd Zaidi Mohd Said yang memfitnah kerajaan negeri dan menghasut kebencian kaum dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Umno 2014.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, Mohd Zaidi menuduh kekuatan politik dan ekonomi orang Cina di Pulau Pinang berpunca dari aktiviti ekonomi haram seperti perjudian haram, pelacuran dan pusat hiburan.

“Walaupun kemungkinan tiada tindakan akan diambil, namun laporan polis mesti dibuat demi mempertahankan maruah dan kehormatan rakyat Pulau Pinang, termasuk masyarakat Cina akibat penghinaan itu.

“Semua orang di Pulau Pinang boleh berjaya sama ada Cina, Melayu atau India jika mereka jujur dan bekerja keras.

“Menuduh orang Cina yang berjaya kerana terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang adalah penghinaan, terutamanya kepada mereka yang bersih, jujur dan rajin,” kata Guan Eng dalam kenyataannya hari ini.

Tegas Guan Eng sehingga hari ini, Mohd Zaidi gagal menunjukkan bukti atau lokasi aktiviti jenayah haram yang dikatakannya.

Malah, tuduhan liar Mohd Zaidi adalah penghinaan keatas Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi yang berulang kali menafikan kewujudan kegiatan tersebut di negeri ini.

“Abdul Rahim berkata, ‘Untuk rekod, Pulau Pinang adalah sifar mesin judi haram’, kata Guan Eng.

Justeru itu, Guan Eng mempersoalkan pendirian MCA dan Gerakan sama ada masih menerima penjelasan dan memaafkan rakan komponen BN mereka, meskipun meneruskan fitnah terhadap masyarakar Cina di Pulau Pinang.

Ini kerana Mohd Zaidi kemudiannya memutar kata dan bersilat lidah, kononnya kenyataan itu merujuk kepada kegagalan pihak penguatkuasa untuk mengambil tindakan.

“Jelas Datuk Mohd Zaidi seorang penakut, berbohong kali kedua apabila tidak berani mengakui serangan perkaumannya terhadap orang Cina.

“Saya ingin bertanya, apakah MCA dan Gerakan masih menganggap Datuk Mohd Zaidi sebagai rakan meskipun dia telah melempar fitnah keji terhadap masyarakat Cina? soal Guan Eng. – Roketkini.com.