Berita

Umno akui parti komponen tak beri manfaat kepada BN

JOHOR BAHRU, 30 NOV: Perbahasan sepanjang Perhimpunan Agong UMNO (PAU) 2014 membuktikan parti komponen BN seperti MCA, Gerakan, MIC, PBB dan PRS tidak lagi memberikan keuntungan politik dalam gabungan BN, kata Pengarah Polisi DAP Johor Wong Shu Qi.

Menurut Shu Qi, ucapan antaranya oleh Naib Ketua Pemuda UMNO Datuk Khairul Anwar Rahmat menyelar kritikan pemimpin parti komponen BN membuktikan UMNO merupakan parti hegemoni yang lebih berkuasa dalam gabungan itu.

“Kenyataan Khairul Anwar membuktikan bahawa MCA, Gerakan, MIC, PBS, PBB adalah sekadar ‘window-dressing’ semata-mata bagi UMNO dalam BN,” kata Shu Qi dalam satu kenyataan.

Khairul dilaporkan media mencadangkan pengerusi-pengerusi MCA, MIC ataupun Gerakan seharusnya mendapatkan restu dari UMNO terlebih dahulu sebelum diposisikan sebagai Ahli Majlis Tertinggi BN.

Kata Khairul, keputusan itu adalah bagi memastikan pemimpin-pemimpin (komponen parti BN) bukan sekadar menjadi jaguh kampung.

“Jikalau pengerusi parti-parti komponen ini berasa tidak senang hati, mereka boleh keluar dari BN supaya dapat mengurangkan penderitaan BN”, kenyataan Khairul Anwar dipetik.

Kata Shu Qi, walaupun UMNO mendapat jumlah terbesar dengan 88 kerusi di parlimen, tetapi parti itu tidak mungkin dapat membentuk kerajaan tanpa sokongan 14 kerusi daripada PBB, 7 kerusi daripada MCA, 6 kerusi daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS), 4 kerusi daripada MIC.

Sedangkan, Presidennya Datuk Seri Najib Razak mengakui bahawa sokongan di kubu kuatnya termasuk di Johor terhakis apabila peratusan undi menjunam teruk daripada 80 peratus pada tahun 2004 kepada 54 peratus pada 2013.

Parti itu hampir hampir tewas di parlimen Pasir Gudang, Muar dan Ledang apabila hanya mampu meraih kemenangan dengan majoriti tipis sekitar 1,000 undi.

“Sumbangan parti komponen lain sememangnya tidak dihargai,” ujar Shu Qi.

Namun, beliau bimbang UMNO akan terus mempermainkan sentimen perkauman sempit dan manipulasi agama untuk menutup kegagalan urustadbir negara.

“Memandangkan BN dikuasai sepenuhnya oleh UMNO, saya cadangkan agar BN dibubarkan dan parti komponen lain boleh menggunakan tiket UMNO sahaja untuk bertanding dalam PRU yang akan datang,” kata Shu Qi. – Roketkini.com.