Berita

300,000 Puteri Umno, berapa ramai berpeluang bertanding?

KUALA LUMPUR, 1 DIS – Sebenarnya Umno adalah parti yang memberi harapan palsu, bukannya DAP, manakala Ketua Pemudanya Khairy Jamaluddin sedang hidup dalam penafian.

Demikian reaksi balas Dyana Sofya terhadap serangan bertali arus terhadap DAP sepanjang Perhimpunan Agung Umno PAU kali ini yang menjadikan Dyana bahan bualan.

Nama Dyana meniti di bibir Khairy sejak hari pertama PAU bersidang, sambil menyifatkan Setiausaha Politik kepada Lim Kit Siang itu sebagai seorang yang ‘bukan siapa-siapa’.

“Saya rasa Khairy memang hidup dalam penafian jika beliau rasakan DAP ialah parti yang memberikan harapan palsu kepada ahli politik muda,”

“Malah, DAP konsisten mengiktiraf bakat-bakat muda dan memberi peluang untuk turut serta dalam politik arus perdana,” ujar Dyana yang dikenali setelah bertanding melawan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dalam pilihanraya kecil Parlimen Teluk Intan.

Dyana dipilih DAP sebagai calon, selari tindakan parti sebelum ini mengenengahkan bakat baru ke lapangan arus perdana sejak 2008.

Contohnya, Ahli Palrimen Kulai Teo Nie Ching yang memenangi kerusi Parlimen Serdang ketika berusia 27, manakala Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim baru sahaja berusia 32 tahun.

Bukan itu sahaja, DAP turut mempunyai wakil rakyat berusia dalam lingkunan 20’an seperti Liow Cai Tung di Johor dan Christina Chew di Sarawak.

“Pemimpin senior seperti Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok pun bertanding (dalam pilihanraya) ketika usia 20’an,” tambahnya.

Dyana turut mempersoalkan sama ada Umno pernah mengenengahkan mana-mana calon di bawah usia 35 dalam pilihanraya umum yang lalu.

“Dengan lebih 300,000 ahli Puteri Umno yang khabarnya lebih hebat daripada saya, berapa ramai yang diberi peluang untuk bertanding?”, soal Dyana.

Menurutnya, keengganan Umno memberi peluang kepada anak muda kerana tidak ada dari kalangan pemimpinnya yang berminat untuk melepaskan cengkaman mereka terhadap kekuasaan.

“Umno berlagak seolah-olah dialah pelindung orang Melayu, walaupun mereka mendakwa bahawa survival orang Melayu bergantung kepada Umno.

“Sebenarnya Umno yang tidak boleh bertahan tanpa orang Melayu,” ujar Dyana. – Roketkini.com