Rencana

Kisah dua wajah UMNO

UMNO bermuka-muka.Perhimpunan Agungnya telah mendedahkan hal ini.

Kita mulakan dengan Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO. Orang ini kadang-kala bercakap hal-hal waras dan mempunyai perawakan yang boleh meyakinkan orang ramai bahawa beliau sebenar-benarnya progresif. Tidak ramai yang tidak bersetuju dengannya apabila beliau menulis di Twitter bahawa patut ada orang menangkap ‘bomoh tikar terbang’ tempoh hari, ‘Memalukan’ katanya.

Kenyataan tersebut ternyata disambut dengan amaran penampar buaya oleh Raja Bomoh. Keputusannya menggantikan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara selepas kontinjen Malaysia gagal mendapat pingat emas seperti disasarkan dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia juga tindakan yang progresif.

Namun beliau langsung tidak progresif di Perhimpunan Agung Umno. Saya akui sehingga sekarang saya tidak memahami logik Khairy mengaitkan rungutan mengenai penukaran nama jalan di Kuala Lumpur dengan ‘mencabar kedudukan Raja-raja Melayu’.

Pastinya saya juga tidak boleh faham bagaimana seseorang yang melihat dirinya sebagai reformis dan progresif berucap tentang mengekalkan unsur-unsur Akta Hasutan jika tidak mahu negara ‘hancur’. ‘Hancur’ seperti mana dan bagaimana?

Seterusnya mari kita lihat Ketua Wanita Umno, Shahrizat Abdul Jalil. Hadirin bangkit berdiri dalam persidangan di India baru-baru ini apabila beliau berucap tentang pengupayaan wanita dan bagaimana wanita Malaysia berjaya memecah tradisi dalam pelbagai sektor.

Tetapi beliau tidak menyatakan pendirian mengenai pengupayaan wanita di Perhimpunan Agung Umno. Ketika ahli politik wanita menjadi mangsa kenyataan seksis, dan berusaha membuktikan kami setanding kaum lelaki dari sudut kecekapan dan kepedulian, beliau bercakap tentang ‘membakar coli’ dan ‘minyak pelincir!

Sebagai ahli politik wanita, saya malu membaca kenyataan sedemikian. Kenyataan berbaur seksual itu hanya akan menambah steretotaip orang ramai terhadap golongan profesional wanita di negara ini. Apa kena mengena seks dengan kebolehan kita untuk berkhidmat kepada negara?

Kisah dua wajah Umno ini pasti tidak lengkap tanpa presidennya, Najib Razak.

Rasanya sudah cukup diperkatakan bagaimana beliau bercakap tentang kesederhanaan di luar negara, tetapi membiarkan ekstremisme agama di negara sendiri. Tetapi tiada yang mampu mengalahkan ucapannya di Perhimpunan Agung Umno, apabila beliau melakukan pusingan-U paling epik abad ini dengan mengumumkan bahawa bukan sahaja Akta Hasutan akan dikekalkan tetapi juga akan diperkukuhkan.

Ya, Umno sememangnya berharap rakyat Malaysia mempercayai kedua-dua wajahnya. Berita baiknya ialah – tidak ada kerajaan mampu bertahan lama hanya berasaskan kejahilan orang ramai tentang wajahnya yang sebenar.

Dalam pada itu kawan-kawan sekalian; marilah kita terus bersabar dan tetap gigih bekerja. – Roketkini.com