Berita

Subsidi mesti dikembalikan jika harga minyak naik

IPOH, 1 DIS – Dengan kejatuhan harga minyak mentah sehingga 40 peratus beberapa bulan lalu, DAP mempersoalkan pengumuman kerajaan untuk mengapung harga minyak RON95 dan diesel bermula hari ini.

Katanya, perubahan harga berkuatkuasa hari ini mengejutkan, apabila minyak RON95 turun sekadar 4 sen, manakala harga diesel pula meningkat 3 sen.

“Bagaimana harga minyak mentah jatuh dan harga petrol menurun, tetapi harga diesel pula naik?

“Kerajaan perlu menerangkan hal ini,” kata Naib Pengerusi Kebangsaan DAP M Kula Segaran dalam satu kenyataan.

Menurutnya orang ramai berharap menikmati harga minyak dan diesel lebih rendah berikutan kejatuhan harga minyak mentah dan sistem apungan terurus diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek baru-baru ini.

“Dua hari lalu Datuk Seri Hasan berkata pelaksanaan sistem pengapungan terurus ini memberi manfaat kepada orang ramai berikutan ramalan harga minyak mentah akan terus menurun tahun hadapan.

“Tetapi apa yang kita saksikan hari ini ialah sistem tersebut memberi faedah besar kepada kerajaan, dan bukannya rakyat walaupun harga minyak terus menurun dalam beberapa bulan lalu,” ujar Ahli Parlimen Ipoh Barat itu.

Menurutnya pelaksanaan sistem apungan tersebut memansuhkan subsidi minyak kerajaan dan memberi penjimatan berbilion ringgit kepada kerajaan setiap tahun.

Namun katanya sementara kerajaan mendapat faedah, rakyat Malaysia terpaksa menanggung kenaikan harga barang akibat daripada kenaikan harga diesel.

“Kerajaan mesti memberi jaminan bahawa sekiranya harga minyak kembali meningkat, subsidi mesti dikembalikan supaya rakyat tidak terbeban,” tegasnya. – Roketkini.com