Berita

Bentang laporan RCI Sabah sebelum akhir tahun – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Kerajaan dan Ahli Parlimen BN Sabah perlu melengkapkan kajian dan mengumumkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Pendatang Tanpa Izin di Sabah (RCIIIS) sebelum akhir tahun ini, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Kata Kit Siang, ini kerana kerajaan gagal membentangkan laporan tersebut sepanjang 28 hari persidangan Dewan Rakyat bulan lalu yang beakhir pada 27 November.

Ujarnya, kegagalan awal Menteri dan Ahli Parlimen BN membolehkan Perdana Menteri dan kabinet seolah-olah ‘lepas tangan’ selama enam bulan menjawab isu berkaitan RCIIIS.

“Ini termasuk soalan Parlimen yang dikemukakan pada 14 Mei, dan seharusnya ada perbahasan penuh di Dewan Rakyat berkenaan RCIIS,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Muak dengan kerenah dan sikap ‘tarik tali’ kerajaan dan Ahli Parlimen BN, Kit Siang menghubungi Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa dan pegawai di Jabatan Perdana Menteri untuk mendapatkan set laporan RCIIIS.

Namun menurut Kit Siang, pegawainya ‘diusung’ dari satu jabatan ke satu jabatan lain, kerana tidak ada pihak yang mengambil rtanggungjawab berhubung laporan RCIIIS.

“Sehingga akhirnya diberitahu ketiga-tiga pegawai terlibat dalam RCIIIS telah ke Kota Kinabalu bagi pelancaran RCIIIS yang dijangkakan esok,” kata Kit Siang, kecewa dengan kelemahan dan kelewatan pentadbiran JPM.

“Ini bukannya pengalaman yang baik tentang bagaimana Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya mempamerkan ‘kecekapannya’.

“Sedangkan Jabatan Perdana Menteri di Malaysia boleh dikatakan pemegang rekod dunia bagi peruntukan terbesa, berbanding mana-mana negara,” kata Kit Siang

Tegas Kit Siang, Ketua Setiausaha Negara hendaklah memastikan semua Ahli Parlimen yang berminat perlu diberikan satu set lengkap laporan RCIIIS

“Manakala Perdana Menteri perlu bersedia memanggil sidang tergempar Parlimen dalam beberapa hari sebekum tahun ini terakhir, bagi membuktikan kesungguhan BN menyelesaikan masalah empat dekad pendatang tanpa izin di Sabah.

“Semoga Sabah dan Malaysia boleh memulakan halaman baru di 2015 dengan menangani dan menyelesaikan masalah ini,’ ujar Kit Siang. – Roketkini.com