Berita

Enggan terima peruntukan, Umno Selangor sisih hak rakyat

PETALING JAYA, 2 DIS: Keengganan ADUN Umno Selangor untuk menerima peruntukan RM200,000 bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri menunjukkan ketakutannya terhadap usaha pendemokrasian.

ADUN Damansara Utama Yeo Bee Yin mengingatkan, peruntukan tersebut bukan untuk kegunaan peribadi, tetapi untuk rakyat di kawasan mereka.

“Tindakan menolak peruntukan ini bermaksud menafikan hak rakyat di kawasan mereka menerima faedah dan manfaat daripada kerajaan negeri,” kata Bee Yin dalam satu kenyataan.

Kerajaan Selangor dalam pembentangan belanjawan 2015 minggu lalu mengumumkan peruntukan RM2.4 juta, iaitu sebanyak RM200,000 setahun kepada setiap 12 orang wakil rakyat BN mulai tahun depan.

Kata Bee Yin, alasan keengganan Umno Selangor untuk tidak menerima peruntukan tersebut adalah tidak masuk akal.

“Mungkin alasan sebenar di sebalik keengganan mereka ialah rasa bimbang dan takut sekiranya mereka menerima peruntukan ini, ahli-ahli Parlimen dan Adun Pakatan Rakyat di negeri-negeri lain akan meminta peruntukan yang sama di Dewan legislatif masing-masing.

“Mungkin BN terlalu takut untuk memberikan peruntukan kepada wakil rakyat Pakatan kerana mereka tahu bahawa wakil rakyat Pakatan boleh menggunakan peruntukan tersebut lebih baik berbanding wakil-wakil BN,” ujar Bee Yin.

Tegasnya, kerajaan Selangor akan terus memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang walaupun BN terus enggan berbuat demikian di Parlimen dan Dewan-dewan Negeri yang mereka kuasai.

“Umno Selangor tidak perlu takut untuk menerima peruntukan ini,” kata BeeYin.

Ketua Pembangkang DUN Selangor Datuk Shamsudin Lias minggu lalu berkata, ADUN BN tidak akan menerima wang peruntukan sebanyak RM200,000 setahun yang akan diberi oleh kerajaan negeri mulai tahun depan.

Manakala Ahli Parlimen Tanjung Karang Datuk Noh Omar berkata, BN Selangor tidak memerlukan peruntukan itu kerana memiliki wang lebih banyak daripada kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Bee Yin tidak menoak kemungkinan ketakuan BN bersaing dengan Pakatan dari segi dasar dan kebolehan mentadbir, selain merasakan wang adalah salah satu senjata terakhir mereka untuk terus kekal berkuasa.

Sedangkan katanya, pemberian peruntukan kepada wakil rakyat BN di Selangor adalah langkah membina demokrasi lebih sihat di Malaysia.

Manakala pengundi dapat membuat pilihan lebih baik dalam pilihanraya, memandangkan mereka tidak lagi bergantung kepada hal imbuhan, tetapi kebolehan calon menyumbangkan kebijakan sebagai pembuat dasar, berasaskan kemampuan parti politik diwakilinya.

“Mengundi adalah hak demokratik. Tiada yang patut dihukum akibat melaksanakan hak demokratiknya walaupun pilihan mereka mungkin tidak memihak kepada kami.

“Melalui usaha sedemikian, rakyat daripada kawasan yang diwakili Adun pembangkang tidak akan tersisih daripada faedah dan manfaat negeri disebabkan pilihan yang mereka buat sewaktu pilihanraya umum,” kata Bee Yin. – Roketkini.com