Berita

Umno lupa negara merdeka hasil kesepakatan semua kaum – Dr Ariffin Omar

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Tindakan UMNO menjadikan Perhimpunan Agung mereka (PAU 2014) sebagai medan menghentam kaum lain bukti parti itu tidak matang berpolitik, kata Naib Pengerusi DAP Senator Dr Ariffin Omar.

Kata Ariffin, selepas 57 tahun negara mencapai kemerdekaan, Umno masih tidak percaya kepada keharmonian dan terlupa bahawa kemerdekaan dicapai melalui kesepakatan antara masyarakat berbilang kaum.

“Cara UMNO menghentam orang bukan Melayu termasuk memfitnah DAP secara membuta tuli menunjukkan bahawa mereka mentah berpolitik.

“Bukankah kemerdekaan negara itu sendiri dicapai hasil kesepakatan semua kaum?, kata Ariffin kepada Roketkini.

Ujarnya, kempen 1Malaysia dicanangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini cuma tinggal slogan, apabla perwakilan Umno sendiri bercadang mengubahnya kepada 1Melayu

“Mana dia pegangan ini? Kenapa tiba-tiba timbul soal nak tukar kepada 1Melayu dan menyebar kebencian antara kaum?,” ujar mantan Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu

Ahli Dewan Negara itu menyatakan, isu sebenar yang sewajarnya dibicarakan UMNO adalah mengenai kebajikan rakyat.

“Isu pokok yang seharusnya dibangkitkan UMNO adalah soal kebajikan yang memberi kesan buruk untuk ekonomi negara, sekaligus menambah beban seluruh rakyat.

“Yang menerima kesan terburuk adalah orang Melayu sendiri. Melayu luar bandar, dan Melayu berpendapatan rendah.

“Mengapa tak timbulkan persoalan ini? Siapa sebenarnya yang menyebabkan orang Melayu berterusan terpinggir? Bukankah UMNO sendiri?” soalnya.

Tambah Arifin pengumuman Datuk Seri Najib Razak menarik semula pemansuhan Akta Hasutan 1948 adalah tindakan seorang pengecut.

Manakala hujah Najib menarik semula pemansuhan Akta Hasutan dengan alasan bahawa rakyat tidak bersedia bukti bahawa Presiden Umno itu tunduk kepada kelompok tertentu.

“Najib ini nampaknya langsung tidak ada ‘tulang belakang’ dan sanggup tunduk untuk kekalkan Akta Hasutan. Alasannya langsung tak masuk akal.

“Kalau nak tahu rakyat bersedia atau tidak, mengapa tak buat referendum?

“Saya pasti majoriti jawapannya adalah ‘ya’ (mansuh akta hasutan),” ujar Ariffin. – Roketkini.com