Berita

Jangan guna Akta Hasutan diamkan suara Sarawak dan Sabah

KUALA LUMPUR, 3 DIS: DAP menolak sebarang usaha pemisahan, namun menentang keras tindakan kerajaan menggunakan Akta Hasutan untuk menangkap individu atau kumpulan ‘pemisah’ Sarawak dan Sabah, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Katanya, tindakan itu membelakangi prinsis asas Perjanjian Malaysia kerana penggunaan undang-undang drakonian itu memberi kesan apabila rundingan tidak dibuat.

“Adakah rakyat, kerajaan dan badan perundangan kedua-dua negeri itu bersetuju bahawa Akta Hasutan perlu ‘diperkukuhkan’ melalui pindaan baru yang membenarkan kumpulan itu disabitkan atas kesalahan menghasut?

“Langkah paling tepat dan berhemah adalah dengan mengetahui punca ketidakpuasan hati serta mencari jalan membetulkan keadaan jika rungutan itu benar, dan bukannya menjenayahkan pandangan mereka,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Ujarnya, salah satu langkah adalah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mendapatkan maklumat tentang rasa tidak puas hati rakyat Sarawak dan Sabah kerana kerajaan gagal menghormati Perkara 18/20.

“Cadangan ini berulang kali saya utarakan di Parlimen, tetapi tidak pernah dipedulikan oleh Ahli Parlimen BN sama ada dari Sarawak atau Sabah,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Kit Siang pada 31 Ogos lalu melancarkan Kempen Batu Sumpah Keningau, bertujuan membawa kesedaran tinggi tentang hak dan harapan rakyat Sabah dan Sarawak ketika Malaysia dibentuk 51 tahun yang lalu.

Beliau berulang kali menggesa ahli-ahli parlimen BN dan Pakatan Rakyat menyokong cadangannya bagi membentuk RCI bagi mengkaji komitmen Pusat terhadap aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak dalam tempoh lima dekad,

Tegasnya, Dewan Undangan Negeri Sarawak dan Sabah perlu mengambil kira pandangan rakyat dan badan perundangan negeri sebelum rang undang-undang meminda Akta Hasutan dibentangkan di Parlimen untuk mengkategorikan tindakan kumpulan ‘pemisah’ sebagai kesalahan menghasut. -Roketkini.com