Berita

Laporan RCI Sabah ‘anti-klimaks’, hanya kemuka satu cadangan

KOTA KINABALU, 3 DIS: Selepas dua tahun menunggu Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja  (RCI) mengenai Pendatang Tanpa Izin di Sabah, hanya satu cadangan dikemukakan dari laporan setebal 368 muka surat itu, iaitu satu sekretariat tetap ditubuhkan bagi menangani masalah PATI di negeri ini.

“Ia merupakan anti klimaks,” kata Naib Pengerusi DAP Sabah Chan Foong Hin dalam kenyataan kepada Roketkini.com.

Justeru itu, beliau turut meminta Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menyatakan pendirian jelas sama ada bersetuju menerima atau menolak hasil RCi tersebut.

“Adakah Pairin menerima dapatan ini, kerana majoriti penduduk Sabah percaya bahawa agensi persekutuan dan pemimpin UMNO memberikan taraf kewarganegaraan sebagai pertukaran undi untuk menggulingkan kerajaan negeri pimpinan PBS pada tahun 1994? soal Chan.

Laporan akhir RCI mengenai pendatang haram di Sabah hari membuat kesimpulan antara lain, bahawa “Projek IC” yang begitu banyak diperkatakan, mungkin wujud di negeri itu

Ia turut mencadangkan agar satu jawatankuasa pengurusan ditubuhkan dengan kuasa yang luas bagi menyokong sekretariat kekal itu.

Ujar Chan, terma rujukan RCI adalah untuk menyiasat, dan bukannya bersifat membaiki, seperti dinyatakan oleh bekas Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Simon Sipaun.

“Ia satu penghinaan terhadap kebijaksanaan rakyat Sabah sekiranya dapatan itu membuat kesimpulan bahawa hanya 68,703 orang yang tidak layak telah diberikan taraf kewarganegaraan antara 1963 sehingga 31 Ogos tahun lepas.

“Hari ini ni adalah hari yang menyedihkan buat rakyat Sabah. Sekali lagi kerajaan BN mengecewakan kita. Pairin harus menolak pelantikanya sebagai pengerusi jawatankuasa khas bagi mengkaji dan melaksana cadangan laporan RCI.

“Saya mencabar Pairin menyatakan pendirian dengan jelas. Beliau perlu menunjukkan keberaniannya kepada rakyat. Ini adalah pertempuran terakhir untuk Pairin dan maruah PBS,” ujar Chan. – Roketkini.com