Berita

‘Berat sama dipikul ringan sama dijinjing’, tema Persidangan DAP 14 Disember ini

KUALA LUMPUR, 4 DIS: Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) hari ini mengumumkan Persidangan Kebangsaan DAP 2014 dengan tema ‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook berkata, Persidangan DAP akan diadakan pada 14 Disember ini bertempat di One City, The Place, Subang Jaya, bermula jam 10 pagi dengan kehadiran perwakilan berJumlah 2,725 orang.

“Pemilihan tema kali ini ‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ kerana solidariti kami terhadap masalah terbesar membelenggu rakyat iaitu kos sara hidup yang meningkat dan ketidakseimbangan pengagihan kekayaan negara hasil dasar kerajaan BN.

“Isu-isu berkaitan dan cabaran DAP menanganinya akan diterangkan melalui ucapan dasar Setiausaha Agung Lim Guan Eng,” kata Anthony pada sidang media di Ibu Pejabat DAP, hari ini.

Beliau turut mengumumkan ADUN Subang Jaya Hannah Yeoh sebagai speaker Persidangan tahun ini.

Menurut Anthony, ucapan dasar dan topik perbahasan para perwakilan menjurus kepada persediaan DAP menghadapi pilihanraya negeri Sarawak dan pilihanraya umum (PRU) ke-14.

Ujarnya, salah satu lagi agenda penting dalam Persidangan Kebangsaan kali ini ialah bagi meminda Perlembagaan Parti.

“Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan yang dipengerusikan saya telah mengemukakan cadangan pindaan kepada CEC dan ia sudah diluluskan untuk pembentangan.

“Antara cadangan yang dibentangkan adalah pemilihan dalam CEC dinaikkan dari 20 ke 30 orang,” ujarnya.

Ia bertujuan menggalakkan lebih ramai penyertaan wanita, dan DAP juga akan mewajibkan kuota 30 peratus golongan tersebut dalam CEC.

“Dalam erti kata lain, CEC baru mesti mempunyai sekurang-kurangnya sembilan roang  wanita.

“Semua Pengerusi Negeri,  Ketua Pemuda (DAPSY) dan Ketua Wanita yang bukan ahli CEC akan dijadikan sebagai ex-officio dalam CEC,” kata Ahli Parlimen Seremban itu.

Selain itu, DAP akan mengusulkan cadangan menambah keanggotaan Jawatankuasa Tatatertib dari 5 ke 10 orang, rombakan semula struktur Jawatankuasa Perhubungan Kawasan Parlimen bagi memastikan keberkesanan fungsi dan tempoh jawatan untuk semua Jawatankuasa Negeri dilanjutkan kepada tiga tahun.

“Seseorang Pengerusi Negeri tidak boleh memegang jawatan lebih dari tiga penggal. Ini menjadikan DAP sebagai parti pertama yang mengehadkan tempoh pengerusi.

“Tempoh jawatan untuk semua jawatankuasa cawangan dilanjutkan dari satu ke dua tahun,” katanya lagi. – Roketkini.com