KUALA LUMPUR, 4 DIS: Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) dan Kementerian Pengangkutan seperti sedang saling menuding jari dan cuba melepaskan diri dari tanggungjawab, dengan harapan masalah skandal KLIA2 akan hilang begitu sahaja.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata demkian terhadap sikap ditunjukkan pengarah urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali yang cuba meletakkan syarat terhadap audit yang dicadangkan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC)
“Kita menyeru Khazanah Nasional, pemegang saham terbesar MAHB mendesak pengurusan tertinggi MAHB berhenti berlengah dan segera mengalu-alukan Ketua Audit Negara ke syarikat tersebut,” ujar Tony dalam kenyataan awal pagi ini.
Ini katanya bagi membuktikan MAHB tidak menyembunyikan apa-apa, serta untuk memastikan kekayaan negara tidak disalahguna dan audit dijalankan dengan telus.
Minggu lalu Datuk Badlisham dilaporkan berkata MAHB mahu berbincang terlebih dahulu dengan Kementerian Pengangkutan mengenai pengauditan yang mahu dilakukan, dengan alasan bahawa MAHB diaudit berkali-kali.
“Daripada respon tersebut, ternyata beliau tidak dapat menanggapi betapa seriusnya dapatan PAC, yang merasakan audit daripada Ketua Audit Negara hanya membuang masa,” ujar Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP.
PAC dalam penemuannya mendapati kos KLIA2 mengembang sehingga RM4 bilion berbanding kos asal RM1.7 bilion berikutan kerja yang bertangguh akibat salah urus pengurusan MAHB.
“Penemuan sebegini sangat serius kerana melibatkan konsesi awam kepada MAHB sebagai pemilik, pemaju dan pengurus tunggal lapangan terbang terbabit,” tegasnya.
MAHB dimiliki kerajaan dan dana terkait kerajaan, dengan Khazanah Nasional memiliki 37 peratus milikan, manakala Permodalan Nasional Bhd dan KWSP memiliki 13.5 peratus dan 13.2 peratus milikan.
Tambah Tony, Badlisham seharusnya memperlihatkan tanggungjawab untuk memastikan pengauditan dilakukan secara menyeluruh, bagi memastikan akauntabiliti, memandangkan beliau baru sahaja dilantik sebagai Pengarah Urusan MAHB.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pula terus mendiamkan diri terhadap penemuan laporan PAC.
“Tiadanya tindakan dan tanggungjawab terhadap skandal KLIA2. Ini sangat mengejutkan dan tidak boleh diterima,” ujar Tony. – Roketkini.com