Berita

Bersih: Kerajaan sembunyi agenda politik di sebalik ‘projek IC’

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Berdasarkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pendatang Tanpa Izin di Sabah, kerajaan dilihat cuba menyembunyikan agenda politik di sebalik ‘Projek IC’.

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2,0) dalam satu kenyataan berkata, kesaksian mengenai ‘projek IC’ dan soalan dibangkitkan berkenaan penglibatan ahli-ahli politik seharusnya lebih terperinci.

“Berdasarkan teks sebenar laporan itu, jelas menyatakan bahawa ia (RCI) adalah percubaan untuk membersihkan agenda politik di sebalik ‘projek IC’.

“Bagaimana Ketua Setiausaha Kerajaan Negara Tan Seri Ali Hamsa boleh membuat kesimpulan bahawa ‘tidak ada motif politik dalam pengeluaran kad pengenalan?

“Kami kecewa RCI tidak mencadangkan apa-apa, bahkan tidak membangkitkan persoalan,” kenyataan Bersih dipetik.

Tambah kenyataan itu lagi, Peguam Negara Tan Seri Abdul Gani Patail cuba memutar kata apabila menyatakan jumlah bukan warganegara pada daftar pemilih sebagai tidak penting dalam mempengaruhi keputusan pilihan raya.

Malah, laporan itu sendiri tidak memberi sebarang kesimpulan, sebaliknya jelas menyatakan jumlah sebenar sebagai ‘tidak pasti’, selain mendapati daftar pemilih semasa telah dicemari oleh ‘projek IC’.

Laporan RCI turut merakam kenyataan saksi, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Radin Malleh bahawa terdapat 80.620 pemegang kad pengenalan meragukan tersenarai dalam daftar pemilih.

“Ini menegaskan desakan Bersih 2.0 bahawa daftar pemilih mesti dibersihkan sebelum persempadanan semula dibuat,” tegas kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, Bersih menyatakan Laporan RCI tidak menyediakan angka muktamad bagi persoalan penting, iaitu tentang jumlah pendatang di Sabah yang mendapat kad pengenalan biru atau mendapat kewarganegaraan.

“Ia hanya semata-mata memetik angka berbeza daripada saksi-saksi yang berbeza, tanpa memberi penilaian terhadap ketepatan atau kebolehpercayaan. Oleh itu, penemuan ini tidak mempunyai kewajaran dan siasatan telah gagal,” tegas Bersih.

Bersih turut mendesak Laporan RCI itu disebarkan secara meluas ke seluruh negara, atau sekurang-kurangnya mudah diakses kerana kerajaan tidak membentangkannya di Parlimen walaupun sebelum ini pernah memberi jaminan untuk melakukannya. – Roketkini.com