Berita

DUN Selangor lulus tiga cadangan agenda perubahan negeri

SHAH ALAM, 6 DIS: Bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban ahli-ahli dewan kepada pengundi serta rakyat, kerajaan Selangor meluluskan tiga cadangan agenda perubahan, kata Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh.

Menurut Hannah, cadangan pertama adalah bagi mewajibkan siaran secara langsung dibuat ketika Dewan Undangan Negeri bersidang.

“Ini adalah satu langkah besar untuk membolehkan orang ramai mempunyai akses kepada sidang negeri.

“Perkara ini juga haruslah dimasukkan dalam Perintah Tetap (Peraturan Mesyuarat) dan memaksa kerajaan negeri untuk menetapkan dana mencukupi secara tahunan bagi membolehkan siaran langsung dibuat,” katanya dalam satu kenyataan.

Cadangan kedua pula adalah dengan mewajibkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan (PAC) untuk dipengerusikan oleh pemimpin pembangkang (UMNO).

“Selangor sentiasa mengikut amalan antarabangsa dengan menawarkan kedudukan Pengerusi PAC kepada Ketua Pembangkang.

“Berikutan tindakan pemimpin pembangkang yang telah dua kali menolak tawaran ini, pindaan Perintah Tetap akan dibuat untuk menjadikannya mandatori.

“Peranan pembangkang tidak boleh diambil mudah sebagai pemeriksa yang berkesan demi kesaksamaan serta ketelusan mana-mana Dewan Undangan Negeri.

“Jadi tidak ada budi bicara dalam pelantikan Pengerusi PAC,” ujar Hannah, merujuk penolakan ADUN BN Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias dilantik sebagai Pengerusi PAC Selangor.

Hannah yang juga Adun Subang Jaya menegaskan, cadangan ketiga adalah tindak balas kerajaan negeri berhubung laporan Jawatankuasa Pilihan.

Katanya, Selangor memiliki 10 orang ahli aktif dalam Jawatankuasa Pilihan dan kesemua mereka akan menjalankan siasatan ke atas isu-isu berkaitan pentadbiran negeri dan laporannya perlu dibentang, dibahas dan diluluskan oleh Dewan Negeri.

“Pindaan Perintah Tetap juga telah dibuat berhubung cadangan bagi mewajibkan kerajaan negeri membuat laporan keatas setiap penemuan serta cadangan Jawatankuasa Pilihan,” ujar Hannah. – Roketkini.com