Berita

Ku Nan perlu dapat pandangan Majlis Raja-Raja sebelum ubah nama jalan

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor perlu mendapatkan pandangan Majlis Raja-Raja dan mendapatkan kelulusan sebelum melakukan perubahan nama ke atas beberapa jalan di Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok merujuk kenyataan penyimpan mohor besar Raja-raja Melayu, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad bahawa perkara itu tidak pernah dibincangkan di mana-mana mesyuarat.

Syed Danial dipetik sebagai berkata, satu kertas cadangan dikemukakan Kementerian Wilayah Persekutuan yang akan dibentangkan pada Mesyuarat 234 Majlis Raja-Raja pada 27 Feb 2014.

Kertas cadangan itu kemudiannya ditarik balik Kementerian Wilayah dan tidak dikemukakan semula untuk dibincangkan oleh Majlis Raja-Raja.

Namun pada 28 November, Tengku Adnan berkata, keputusan DBKL menukar nama lapan jalan utama di Kuala Lumpur berkuatkuasa 26 November tidak dibuat atas permintaan Majlis Raja-Raja, sebailknya adalah keputusan Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Jadi mengapa Kementerian membuat keputusan untuk meneruskan rancangannya, tanpa menyerahkan semula mana-mana kertas cadangan? kata Teresa dalam satu kenyataan.

Ujarnya, Tengku Adnan perlu sedar perubahan nama jalan telah menimbulkan kontroversi dan kritikan, bukan kerana rasa tidak hormat kepada bekas Yang di Pertuan Agong, tetapi dibuat secara drastik dan tanpa rundingan.

Malah, tulisan pengarang Utusan Malaysia Awang Selamat berkata, penukaran nama jalan utama di Kuala Lumpur harus mencerminkan nilai tinggi, sebagai pengiktirafan kepada institusi Diraja di Malaysia.

“Tidak ada sesiapa yang mempolitikkan isu ini, atau mengaitkannya dengan kritikan terhadao institusi Raja.

“Seperti tulisan Awang Selamat di Utusan Malaysia, saya ingin mengingatkan Ku Nan – ‘jika sekadar hanya sebatang jalan, jalan susur dan bukannya jalan utama, adalah lebih baik untuk tidak mengubahnya kepada nama Raja,” ujar Teresa. – Roketkini.com.