Berita

Tabung Baitulmal Sarawak digesa bentang laporan kewangan tahunan

KUCHING, 6 DIS: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS ) digesa membentangkan laporan kewangan tahunannya bagi membolehkan umat Islam di negeri ini yang menjadi pembayar zakat mengetahui setakat mana wang mereka disalurkan kepada penerima zakat (asnaf)

Penyelaras Pusat Khidmat DAP Tupong Abdul Aziz Isa berkata, berdasarkan program turun padang dan tinjauannya mendapati, realiti kemiskinan di kalangan umat Islam di negeri ini begitu ketara dan menyedihkan.

“Berdasarkan perangkaan 2013, terdapat 28,485 keluarga miskin di Sarawak dengan bahagian Samarahan mencatat jumlah tertinggi iaitu 4,278 keluarga, diikuti Miri (4,230 keluarga), Kapit (3,561 keluarga) dan Kuching (3,229 keluarga),” kata Aziz dalam satu kenyataan.

Ujarnya, Menteri Muda Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah turut mengakui Sarawak memerlukan masa yang lama untuk membasmi kemiskinan di negeri ini.

Malah, hanya Sarawak dan Sabah masih mempunyai keluarga miskin tegar, yang hanya hidup dengan pendapatan di bawah RM 590 sebulan.

Tambah Aziz, TBS didapati hanya mengagihkan sekitar 60 peratus wang zakat kepada asnaf daripada angka-angka umum jumlah kutipan dan agihan zakat di Sarawak.

“Pada tahun 2006, hanya RM 1.1 juta ataupun 5.5 peratus diagihkan untuk asnaf miskin dan fakir daripada lebih RM20 juta wang zakat yang diperolehi oleh TBS pada tahun tersebut.

“Lebih menyedihkan, pada tahun sama terdapat lebihan sekitar RM13 juta wang zakat tidak diagih kepada para asnaf walaupun realitinya, masih ramai penduduk Islam di Sarawak yang masih terbelenggu dengan kemiskinan,” kata Aziz.

Tinjauan Pusat Khidmat DAP Tupong mendapati kutipan zakat di Sarawak meningkat sejak 10 tahun lalu, namun tidak menyumbang kepada penurunan kadar kemiskinan negeri dalam tempoh sama.

Difahamkan Majlis Islam Sarawak (MIS) termasuk TBS diberi penarafan cemerlang oleh Jabatan Audit Negara.

Namun kata Aziz, penarafan itu tidak memberi makna sekiranya kutipan wang zakat yang dijangka melebihi RM 60 juta bagi tahun 2013 gagal dimanfaatkan untuk membasmi kemiskinan umat.

“TBS perlu komited dengan prinsip urustadbir baik dan nilai ketelusan dalam menguruskan hal-ehwal zakat umat Islam Sarawak, selaras dengan nilai-nilai Islam yang kita junjungi

“Ini boleh dilakukan dengan mengeluarkan laporan kewangan tahunan yang lengkap dan terperinci,” tegas Aziz. – Roketkini.com