Berita

Syarikat gagal urus insinerator dapat kontrak Kementerian Pelancongan?

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming mempersoalkan tindakan Kementerian Pelancongan menganugerahkan kontrak pengiklanan kepada syarikat yang gagal menguruskan insinerator di Cameron Highlands dan Pulau Tioman.

Menurut Kian Ming, pada 27 November 2014 Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) mengumumkan Sumur Mutiara Sdn Bhd, salah satu dari sembilan syarikat yang akan menjalankan kempen pengiklanan di luar dan dalam negara selama tiga tahun.

“Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendedahkan, Sumur Mutiara yang dianugerahkan projek insinerator mini di Pulau Tioman dan Cameron Highlands menangguhkan pembinaannya untuk suatu tempoh yang lama, selain gagal beroperasi mengikut piawaian ditetapkan.

“Apakah kepakaran mengendali sebuah insinerator sama seperti yang diperlukan untuk promosi pelancongan?

“Mengapa syarikat ini mendapat kontrak promosi pelancongan? soal Kian Ming.

Sebuah majalah perdagangan industri pengiklanan Malaysia, Marketing Magazine melaporkan bahawa perniagaan utama Sumur Mutiara, syarikat yang berpangkalan di Kuantan itu adalah kontraktor am.

Namun, Marketing Magazine gagal menghubungi pengurusan syarikat tersebut, meskipun berkali-kali panggilan telefon dibuat.

Lebih mengejutkan apabila carian mendapati bahawa laman web syarikat Sumur Mutiara masih dalam pembinaan.

“Ini merupakan petunjuk kukuh bahawa Sumur Mutiara adalah sebuah syarikat yang tidak diketahui dalam industri pengiklanan,” tegas Kian Ming.

Laman web Tourism Malaysia menyatakan, kos operasi pelancongan bagi 2015 berjumlah kira-kira RM454 juta, dengan sebahagian besar peruntukan disalurkan kepada kempen pengiklanan dan promosi.

Justeru itu, beliau menyeru pengerusi Tourism Malaysia, Tan Sri Ng Yen Yen dan juga Menteri Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz mendedahkan jumlah sebenar kontrak tiga tahun yang dianugerahkan kepada Sumur Mutiara.

“Mengapa kontrak ini diberikan kepada syarikat yang tidak dikenali dalam industri pengiklanan, yang turut gagal mengendali operasi insinerator mini di Pulau Tioman dan Cameron Highlands? soal Kian Ming. – Roketkini.com