Berita

Jabatan Tanah Sarawak zalim, roboh 24 rumah penduduk miskin

KUCHING, 7 DIS: Tindakan Jabatan Tanah dan Ukur Sarawak merobohkan 24 struktur bangunan dan rumah yang dibina peneroka bandar di atas tanah kerajaan melalui ‘Ops Tanah Merah’ adalah zalim, kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Penyelaras Pusat Khidmat DAP Tupong Abdul Aziz Isa dalam satu kenyataan memaklumkan ,tragedi menimpa penduduk yang rata-ratanya adalah orang Melayu Sarawak itu berlaku di kawasan Samariang Tanah Merah

“Beberapa pengadu memaklumkan mereka tidak menerima apa-apa notis pengusiran. Mereka tidak pernah dipanggil bermesyuarat oleh pihak berkuasa bagi membincangkan langkah pemindahan.

“Tidak wajar bagi pihak berkuasa mendakwa pemilik gagal mematuhi notis yang dikeluarkan, sedangkan mereka tidak menyedari wujudnya notis pengusiran.

“Sekurang-kurangnya Jabatan Tanah dan Ukur Sarawak menjalankan mesyuarat dengan peneroka bandar untuk memaklumkan mereka bahawa tindakan akan diambil,” kata Aziz dalam satu kenyataan.

Pembantu Khas Pengerusi DAP Sarawak itu berkata, pihak berkuasa seharusnya melakukan rundingan, agar peneroka bandar dapat secara sukarela keluar dari kawasan tersebut.

Namun, Jabatan Tanah dan Ukur Sarawak perlu mempertimbangkan jumlah pampasan yang sesuai, memberikan tempoh yang munasabah untuk peneroka mencari tempat tinggal sementara dan tidak memusnahkan atau merampas harta benda mereka

Rumah bernilai RM40,000 diroboh tanpa pampasan

“Persoalannya ialah mengapa bertindak kejam kepada penduduk setinggan ini? Jika ingin mengusir mereka dari kawasan tersebut, mengapa perlu memusnahkan harta benda termasuk dinding, bumbung zink mereka dan lain-lain?

“Adakah mereka fikir peneroka bandar ini orang kaya? Mereka kebanyakannya adalah rakyat berpendapatan rendah yang perlu menyimpan wang untuk membina rumah-rumah mereka.

“Tidak mudah bagi mereka untuk membina sebuah rumah yang memakan kos dari RM15,000 sehingga RM40,000 yang akhirnya dimusnahkan oleh kerajaan tanpa apa-apa pampasan,” kata Aziz.

Aziz turut dimaklumkan oleh seorang peneroka bandar yang merancang untuk menyambut Hari Raya tahun depan di rumahnya, namun impiannya bertukar menjadi mimpi ngeri.

“Menyakitkan untuk mereka menerima keadaan ini,” kata Aziz.

Beliau turut mempersoalkan peranan Ahli Parlimen Petra Jaya dan ADUN Samariang yang menjadikan kawasan tersebut sebagai kubu kuat parti Pesaka Bumipuetra Bersatu (PBB).

“Adakah ini caranya kerajaan membayar semula sokongan mereka kepada BN dan PBB selama ini? Mengapa tidak melakukan apa-apa untuk membantu?

“PBB menuduh DAP mengusir orang Melayu dari tanah mereka, tetapi sekarang kerajaan pimpinan BN adalah pihak yang menghalau orang Melayu dari tanah mereka,” kata Aziz. – Roketkini.com.