Saya sepenuhnya bersetuju dengan apa yang telah diperkatakan oleh Ahli Parlimen Raub (DAP) Datuk Mohd Arif Sabri Abdul Aziz dalam tulisan terbarunya dalam blog Sakmongkol AK47 bahawa semua warga Malaysia yang waras perlu membongkar ‘Penipuan Terbesar’ – bahawa setelah 57 tahun pemerintahan kerajaan UMNO di bawah enam orang perdana menterinya, Melayu dan Islam di Malaysia sedang terancam dan berdepan perjuangan untuk menentukan hidup atau matinya.
Dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, ‘Penipuan Terbesar’ menjadi tema, Pemuda, juga dalam perhimpunan Wanita dan Puteri parti itu, bahkan dalam Konvensyen Negeri serta persidangan-persidangan yang ditaja menjelang perhimpunan agung mereka.
Kerana itulah, sebelum dan ketika Perhimpunan Agung UMNO, retorik dan politik perkauman yang bertujuan menyemai ketakutan, kebencian dan penipuan dimainkan sepenuhnya, misalnya kenyataan tidak berasas sama sekali seperti “Jika UMNO kalah, Melayu tidak akan dapat lagi memerintah”, “Kita sudah menjadi hamba abdi di tanah kita sendiri”, seruan untuk menggunakan “1 Melayu” menggantikan slogan “1 Malaysia” serta ibu kepada segala penipuan, iaitu bahawa orang Cina di Kedah telah membakar Al-Quran “sehelai demi sehelai ketika upacara sembahyang mereka.”
Tiga daripada enam Perdana Menteri dari UMNO sudah meninggal dunia, iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein.
Saya mencabar tiga Perdana Menteri UMNO yang masih ada – Tun Mahathir yang merupakan Perdana Menteri paling lama memerintah selama 22 tahun, dari 1981 sehingga 2003; Tun Abdullah Badawi selama lima tahun dan lima bulan; serta Datuk Seri Najib Razak yang telah menjadi Perdana Menteri selama lima tahun dan lapan bulan – untuk menjelaskan kepada seluruh warga Malaysia, khususnya orang-orang Melayu, bagaimana Melayu serta Islam di Malaysia sedang terancam dan kini menghadapi kegetiran perjuangan hidup dan mati setelah 57 tahun kerajaan UMNO memerintah, atau lebih spesifik lagi, setelah 33 tahun di bawah Mahathir, Abdullah dan Najib sebagai Perdana Menteri?
Jika Mahathir, Abdullah, dan Najib tidak mampu menjelaskan bagaimana setelah 57 tahun pemerintahan UMNO dan setelah 33 tahun pemerintahan mereka sebagai Perdana Menteri, Melayu dan Islam di Malaysia boleh terancam, maka menjadi tanggungjawab kepada seluruh warga Malaysia yang cintakan negara, tanpa mengira kaum, agama atau negeri untuk bersatu-padu membongkar ‘Penipuan Terbesar’ ini yang sedang meracuni usaha membina Malaysia yang bersatu.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberi amaran dalam Perhimpunan Agung UMNO bahawa BN akan hilang kuasa jika mereka hilang hanya dua peratus sokongan dalam pilihanraya akan datang.
Walaupun ini adalah amaran daripada Muhyiddin Yassin kepada perwakilan UMNO, ia sepatutnya menjadi galakan kepada sebahagian besar rakyat Malaysia yang menyedari bahawa hanya dengan perubahan di Putrajaya sahaja semua warga, baik Melayu, Cina, India, Kadazan atau Iban, akan kembali merasa bangga menjadi warga Malaysia dan kembali yakin bahawa Malaysia mampu bersaing dengan dunia (dan tidak lagi perlu melantik orang luar untuk menyelamatkan MAS, seolah-olah tidak ada lagi rakyat Malaysia yang boleh melakukan kerja itu).
Sepuluh tahun lalu, siapa berani menjangka bahawa hanya dengan dua peratus saja kehilangan pengundi, UMNO/BN boleh terpelanting ke kerusi pembangkang di Parlimen.
Seperti yang diakui Muhyiddin, kehilangan dua peratus pengundi akan mengakibatkan Barisan Nasional yang mempunyai 133 kerusi yang dimenangi mereka dalam pilihanraya ke-13, hilang 30 kerusi menjadi 103 kerusi, kurang dari separuh jumlah 222 kerusi palimen (68 daripadanya kerusi UMNO dan 35 bukan-UMNO).
Hilangnya lima peratus pengundi pula mengurangkan kerusi BN kepada 81 kerusi – 53 UMNO dan 28 kerusi non-UMNO.
Ini akan meletakkan khususnya pemimpin UMNO dan kroni mereka berada dalam situasi terancam, namun ini tidak boleh disamakan bahawa Melayu dan Islam juga menghadapi masalah sama.
Kuasa politik Melayu, sebagai Perdana Menteri, dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi dalam perlembagaan Malaysia yang termaktub dalam Artikel 3 Perlembagaan, kedudukan Raja-raja Melayu, Artikel 152 tentang Bahasa Malaysia dan Bahasa lain, serta artikel 153 tentang keistimewaan kedudukan Melayu dan Peribumi Sabah dan Sarawak termasuk kepentingan-kepentingan komuniti lain tidak sesekali berada dalam keadaan terancam atau sedang menghadapi kegetiran hidup dan mati.
Apakah Pakatan Rakyat dapat kekal momentum?
Kini Malaysia sedang menuju ke arah perubahan kuasa di peringkat pusat dan ini adalah ujian penting untuk menentukan sama ada demokrasi hidup subur di Malaysia!
Sepuluh tahun lalu, tiada siapa berani bermimpi dan menaruh harapan bahawa hanya dengan dua peratus sahaja pengundi yang bertukar haluan akan mengakibatkan UMNO/BN hilang kuasa di Putrajaya setelah menjadi pakatan tunggal yang membentuk kerajaan Malaysia selama enam dekad. Sekarang ini tiada siapa dapat mengagak apa yang akan terjadi pada PRU-14 nanti, sama ada diadakan pada tahun 2017 atau 2018.
Apakah Pakatan Rakyat yang terdiri dari PKR, PAS, dan DAP masih akan wujud pada PRU-14 nanti untuk menerajui perubahan pertama di Putrajaya?
Saya sendiri berdoa dan menaruh harapan agar Pakatan Rakyat akan terus utuh untuk memanfaatkan momentum daripada PRU-13 untuk mengurangkan dua peratus sokongan kepada BN.
Namun, jika anda bertanya kepada saya, apakah saya boleh mengatakan secara pasti bahawa Pakatan Rakyat akan terus wujud utuh untuk bertarung pada pilihanraya ke-14, saya tidak mampu menjawabnya, kerana saya tidak tahu.
Bukan lagi rahsia bahawa banyak hal yang telah berlaku dalam Pakatan Rakyat, kerana itulah Majlis Pemimpin Pakatan Rakyat telah enam bulan gagal bertemu untuk kembali mengesahkan semula kerangka kerja dasar bersama Pakatan Rakyat dan prinsip-prinsip yang disepakati bersama – dua kunci yang akan dapat menyelamatkan Pakatan Rakyat serta memulihkan kepercayaan rakyat.
Saya tidak ada rasa sangsi bahawa rakyat Malaysia, yang majoritinya telah mengundi Pakatan Rakyat dan menolak UMNO/BN, akan terus menyokong Pakatan Rakyat, dan mereka mahu melihat PR menggantikan BN sebagai kerajaan pusat di Putrajaya dalam pilihanraya akan datang.
Namun, ini bergantung sama ada PR boleh mengekalkan kepercayaan rakyat dengan memberikan keutamaan kepada kerangka kerja dasar bersama dan kesepakatan Pakatan Rakyat.
Jika kerangka kerja dasar bersama dan kesepakatan PR dilanggar, antaranya dalam isu hudud, harga yang mahal akan terpaksa dibayar oleh Pakatan Rakyat, termasuklah PAS, dari sudut kehilangan undi popular serta kerusi Parlimen dan DUN. Lebih parah lagi, kehilangan keyakinan rakyat. – Roketkini.com