Berita

Gabungan tokoh Melayu desak kerajaan lawan pelampau agama

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Sekumpulan tokoh Melayu yang terdiri daripada bekas pegawai tinggi kerajaan, ahli akademik dan profesional menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyelesaikan segera ketegangan antara kaum dan agama dalam negara.

Surat terbuka ditandatangani 25 individu itu mendesak penyelesaian segera kerana isu tersebut melunturkan keyakinan rakyat terhadap keselamatan dan perlindungan, selain menjejaskan kestabilan negara.

Penulisnya Datuk Noor Farida Ariffin, bekas Duta Besar Malaysia ke Belanda yang juga bekas Ketua Pengarah Penyelidikan, Perjanjian dan Jabatan Undang-undang Antarabangsa, Kementerian Luar bimbang dan kecewa dengan perbalahan berterusan berhubung kedudukan dan amalan undang-undang Islam di negara ini.

“Semakin banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhaluan kanan dengan sewenang-wenangnya menuduh pihak yang berani bersuara sebagai anti-Islam, anti institusi beraja dan anti-Melayu,” kandungan surat terbuka tersebut dipetik.

Kumpulan itu bimbang bercambahnya NGO berhaluan kanan, menggambarkan salah faham kedudukan undang-undang Islam dalam kerangka demokrasi berparlimen, serta mencerminkan keruntuhan pembahagian kuasa antara Pusat dengan kerajaan negeri.

“Perkembangan ini menjejaskan komitmen Malaysia terhadap prinsip-prinsip demokrasi dan kedaulatan undang-undang, melahirkan sikap tidak bertolak-ansur dan ketaksuban, serta menggugat keamanan dan kestabilan negara,” ujarnya.

Tegas mereka, tindakan kumpulan NGO itu menyukarkan usaha untuk mengadakan perbincangan dan mencari jalan penyelesaian konflik secara rasional.

Dalam pada itu penggunaan Akta Hasutan sebagai alat menggertak dan mendiamkan sesiapa yang mempunyai pandangan yang berbeza juga amat membimbangkan.

Sehubungan itu, mereka mendesak Najib untuk menilai semula undang-undang Jenayah Syariah dan memastikan hak rakyat membahaskan bagaimana Islam diguna sebagai sumber undang-undang serta dasar awam negara.

Mereka turut menyarankan Najib mempertingkatkan kesedaran mengenai kepelbagaian yang wujud dalam penaafsiran teks dan ilmu fiqah, termasuk kaedah perundangan yang memungkinkan reformasi dan menegakkan prinsip kesaksamaan serta keadilan.

“Najib juga harus melantik pemimpin yang berupaya menghidupkan budaya debat dan wacana terbuka berhubung pentadbiran undang-undang Islam di negara ini,” tambah surat tersebut.

Selain Noor Farida Surat tersebut ditandatangani bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Datuk Abdul Rahim Haji Din, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Tan Sri Ahmad Kamil Jaafar, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Seri Shaik Daud Md Ismail, bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Latifah Merican Cheong dan 20 lainnya.

Kumpulan bekas Pegawai Tinggi Kerajaan bimbang dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang mendakwa golongan transgender dan Sisters in Islam (SIS) sebagai satu ‘gelombang tentangan bentuk baru terhadap Islam’ dan cubaan untuk ‘memesongkan akidah umat Islam’

“Kenyataan mengapi-apikan seumpama ini daripada seorang menteri menunjukkan komitmen Najib memperjuangkan gagasan kesederhaan tidak perlu diambil berat memandangkan menteri kabinetnya sendiri memperlekehkannya,” tegasnya. – Roketkini.com