Berita

Kekal Akta Hasutan, kerajaan memang layak dikritik AS

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Sekiranya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh menerima kritikan terhadap Malaysia, beliau juga tidak sepatutnya menerima pujian dari Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang merujuk kemarahan Muhyiddin terhadap reaksi Naib Presiden AS Joe Biden yang menyatakan kebimbangan terhadap penggunaan undang-undang drakonian Akta Hasutan.

Biden pada masa sama turut mengecam sistem kehakiman negara dan menyarankan agar tindakan sebetulnya diambil dalam rayuan akhir kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kenapa Muhyiddin tidak beritahu Obama September lalu untuk tutup mulut dan sibukkan diri sendiri daripada memuji Malaysia di Perhimpunan Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tetapi marah apabila dikritik.

“Muhyiddin patut beritahu Obama bahawa Malaysia tidak perlukan pujian,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Biden pada 5 Disember lalu menghentam tindakan Kerajaan BN mempertahankan Akta Hasutan bagi memberi tekanan terhadap lawan politik mereka.

“Di tengah-tengah pertumbuhan hubungan AS-Malaysia, tindakan kerajaan Malaysia menggunakan sistem undang-undang dan Akta Hasutan untuk menekan pembangkang, menimbulkan kebimbangan terhadap kedaulatan undang-undang.

“Rayuan Anwar memberi Malaysia peluang penting untuk membuat perkara yang betul dan menggalakkan keyakinan dalam demokrasi dan badan kehakimannya,” kata Biden dalam lamanTwitternya.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, rakyat Malaysia tidak perlu menunggu kritikan antarabangsa, namun kenyataan Biden itu tepat akibat kelemahan dasar berkaitan demokrasi, hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang dan badan kehakiman.

Kit Siang turut menyelar dakwaan Muhyiddin bahawa kerajaan telah melakukan ‘analisis menyeluruh’ sebelum mengambil keputusan untuk mengekalkannya.

Muhyiddin pada Perhimpunan Agung Tritahunan Parti Progresif Demokratik Sarawak di Bintulu pada 6 Disember berkata kerajaan ‘menjalankan analisis terperinci mengenai penggunaan Akta Hasutan sebelum memutuskan untuk mengekalkannya.

“Bagaimana Menteri-Menteri Kabinet bukan UMNO tidak pernah tahu menahu mengenai ‘analisis menyeluruh’ ini sedangkan MCA, Gerakan dan MIC mengakui Najib mengingkari janji untuk memansuhkannya.

“Bolehkah Muhyiddin memberitahu rakyat siapa yang menjalankan ‘analisis menyeluruh’ sehingga tidak ada seorang pun tahu atau hanya sekadar ‘penyelesaian mengejut untuk selesaikan masalah’ (a rabbit plucked from the hat)’,” tegasnya. – Roketkini.com