Berita

ADUN DAP Selangor nafi tandatangan akuan sumpah tarik sokongan Wan Azizah

PETALING JAYA, 9 DIS: ADUN Kinrara Ng Sze Han dan ADUN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran, sekeras-kerasnya menafikan dakwaan ahli PKR yang digantung, Badrul Hisham Shahrain kononnya mereka telah menandatangani surat akuan bersumpah menarik sokongan terhadap Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Kenyataan beliau (Badrul Hisham) adalah tidak benar dan merupakan tuduhan keterlaluan serta tidak berasas, kerana kami tidak pernah menandatangani sebarang surat berkenaan itu,’ kenyataan tersebut dipetik.

Badrul yang dikenali sebagai Chegubard dalam satu kenyataan semalam berkata, lima ADUN tersebut, tiga dari PKR dan dua dari DAP menandatangani akuan bersumpah pada 11 September, beberapa hari selepas menyatakan sokongan terhadap Wan Azizah untuk dilantik sebagai menteri besar Selangor.

“Ini merupakan perihal pemalsuan dokumen,” tegas kenyataan kedua-dua ADUN DAP menafikan tuduhan tersebut.

Lima ADUN didakwa Chegubard itu adalah Dr Xavier Jayakumar (PKR-Sri Andalas), Shuhaimi Shafie (PKR-Sri Muda), Amirudin Shari (PKR-Batu Caves), Ng Sze Han (DAP-Kinrara) dan Rajiv Rishyakaran (DAP-Bukit Gasing).

Justeru itu kenyataan itu menegaskan, selaras keputusan DAP sebelum ini, kesemua 15 ADUN DAP Selangor menyatakan sokongan dan kepercayaan sepenuhnya terhadap ADUN Kajang, Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar yang baru pada 13 Ogos lalu.

“Kami tidak pernah tarik balik sokongan kami terhadap YB Wan Azizah, seperti apa yang didakwa oleh Badrul Hisham Shahrain.

“Kami kesal dengan tindakan Badrul Hisham Shahrain yang membuat kenyataan tidak benar dan tidak berasas itu,” kenyataan bersama tersebut dipetik. – Roketkini.com