Berita

Belanjawan Perak 2015 catat defisit tertinggi dalam sejarah

IPOH, 9 DIS: Belanjawan Perak 2015 yang dibentangkan semalam menyaksikan defisit tertinggi dalam sejarah negeri ini, iaitu berjumlah RM50 juta, kata ADUN Kepayang Nga Kor Ming.

Menurutnya, belanjawan defisit itu meningkat sebanyak RM8 juta, berbanding RM42 juta pada tahun lalu.

Tambah Nga, belanjawan Perak 2015 juga adalah yang terbesar dalam sejarah negeri ini dengan jumlah RM1.05 bilion, manakala 70 peratus dari keseluruhan peruntukan disalurkan kepada belanja mengurus.

“Berbanding dengan Selangor, 47 peratus (peruntukan) adalah bagi tujuan pembangunan.

“Ini mencerminkan kelemahan kerajaan BN dari segi pengurusan,” kata Nga dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu kata Nga, dibawah pemerintahan BN, Perak kini menjadi antara negeri termiskin di Malaysia kerana memiliki 120,000 isi keluarga yang dikategorikan sebagai golongan berpendapatan rendah kurang RM2,300 sebulan.

Malah, kempen BN untuk menjadikan negeri ini ‘setinggan sifar’ dan ‘tunggakan sifar’ nyata gagal, apabila tunggakan cukai tanah yang direkodkan dijangka setinggi RM102 juta.

“Kerajaan negeri tidak ada iltizam politik untuk membuat perubahan.

“Malah, kegagalan anggota kerajaan mengisytiharkan harta, selain keengganan mengiktiraf Dattk Seri Nizar Jamaluddin sebagai ketua pembangkang membuktikan kerajaan negeri tidak ada ketelusan. – Roketkini.com