Berita

BN Selangor digesa namakan segera Ketua Pembangkang

SHAH ALAM, 9 DIS: DAP menggesa Barisan Nasional (BN) menamakan segera Ketua Pembangkang baru bagi menggantikan ADUN Sungai Burong Datuk Shamsuddin Mohd Lias yang melepaskan jawatan itu semalam.

Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh berkata, nama baru perlu diberikan segera agar pembangkang dapat melaksanakan tugas dan memainkan peranan mereka di dalam pentadbiran negeri secara efektif serta berkesan demi untuk rakyat.

“Saya telah menerima surat peletakan jawatan Ketua Pembangkang bertarikh 8 Disember dan saya menghormati keputusannya serta mengucapkan terima kasih atas perkhidmatannya sejak Jun tahun lalu,” kata Hannah dalam satu kenyataan.

Shamsuddin semalam telah meletakkan jawatan serta merta selepas menolak jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awan (PAC) Selangor.

Beliau mendakwa, jawatan Ketua Pembangkang yang mewajibkannya menjadi Pengerusi PAC tidak lebih seperti boneka dan turut komposisi ahli PAC berat sebelah.

Mengecam tindakan itu, Hannah menegaskan Peraturan Tetap 72(1) Dewan Negeri Selangor jelas memperuntukkan komposisi ahli bagi setiap Jawatankuasa Pilihan membayangkan kadar parti masing-masing di dalam Dewan.

“Perkara ini sudah dinyatakan dengan jelas melalui Peraturan Tetap 72(1) Dewan Negeri.

“Peruntukan yang sama juga terdapat di dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat Peraturan 82(1). Amalan sama digunapakai Parlimen negara Komanwel seperti Australia, United Kingdom, India dan New Zealand,” tegasnya.

Menurut ADUN Subang Jaya itu lagi, Shamsuddin sepatutnya maklum bahawa Dewan Negeri Selangor telah meluluskan pindaan eraturan-Peraturan Tetap 68 (1) pada 4 Disember yang mewajibkan PAC dipengerusikan oleh Ketua Pembangkang.

“Peraturan Tetap 68 (1) menyatakan PAC hendaklah dilantik pada awal tiap-tiap penggal persidangan dan dipengerusikan untuk memeriksa kira-kira kerajaan Selangor dan peruntukan wang yang dibenarkan menepati perbelanjaan negeri.

“Sebarang perkara lain yang difikirkan jawatankuasa atau diserahkan oleh Dewan kepada jawatankuasa patut diperiksa,” ujarnya memetik pindaan Peraturan Tetap Dewan Negeri. – Roketkini.com