Berita

Najib ‘pekak’, tak dengar seruan 25 tokoh Malaysia

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Datuk Seri Najib Razak ‘memekakkan telinga’ terhadap permintaan 25 tokoh Malaysia yang menggesa Perdana Menteri untuk menyelesaikan segera ketegangan antara kaum dan agama di Malaysia.

Reaksi pasif Najib yang ‘memekakkan telinganya’ kata Kit Siang adalah bukti kurangnya keazaman politik untuk menamatkan isu-isu ekstremisme dalam negara.

“Seruan 25 tokoh Malaysia itu tidak diendahkan oleh pemerintahan yang pekak diketuai Najib.

“Bukan sahaja telah melupakan dasar 1Malaysia untuk mencipta warga mendahului kaum, agama, geografi, dan status sosio-ekonomi, bahkan Najib membiarkan dirinya terus dikawal kelompok ekstremis, suara-suara tidak moderat dan tidak bertoleransi yang diwakili golongan minoriti di negara ini,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Semalam, sekumpulan 25 tokoh Melayu yang terdiri daripada bekas pegawai tinggi kerajaan, ahli akademik dan profesional menggesa Najib menyelesaikan segera ketegangan antara kaum dan agama dalam negara.

Surat terbuka itu ditandatangani 25 individu yang mendesak penyelesaian segera kerana isu tersebut melunturkan keyakinan rakyat terhadap keselamatan, perlindungan dan menjejaskan kestabilan negara.

Penulis surat itu Datuk Noor Farida Ariffin, bekas Duta Besar Malaysia ke Belanda yang juga bekas Ketua Pengarah Penyelidikan, Perjanjian dan Jabatan Undang-undang Antarabangsa, Kementerian Luar bimbang dan kecewa dengan perbalahan berterusan berhubung kedudukan dan amalan undang-undang Islam di negara ini.

Mereka turut mendesak Najib menilai semula undang-undang Jenayah Syariah dan memastikan hak rakyat untuk berbahas tentang bagaimana agama Islam diguna sebagai sumber undang-undang serta dasar awam negara.

Kumpulan 25 tokoh itu menambah, penggunaan Akta Hasutan sebagai alat menggertak dan mendiamkan sesiapa yang mempunyai pandangan yang berbeza juga amat membimbangkan.

Justeru itu, kata Kit Siang adalah suatu perkara yang sangat malang apabila Najib tidak mampu melakukan apa-apa, selain gagal untuk membuktikan kualitinya sebagai Perdana Menteri.

“Hanya rakyat biasa – yang majoritinya mendiamkan diri – merentasi parti politik, bangsa, agama yang mampu memastikan kejayaan agenda kesederhanaan dicapai,” kata Kit Siang.