Berita

PR Sabah lapor polis penglibatan kerajaan dalam ‘projek IC’

KOTA KINABALU, 9 DIS: Pakatan Rakyat Sabah hari ini membuat laporan polis berhubung penglibatan kerajaan dalam ‘Projek IC’ (kad pengenalan) kepada Pendatang Tanpa Izin (PATI) di negeri ini.

Laporan polis dibuat Pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong, Ketua Pembangkang DUN negeri Datuk Seri Lajim Ukin dan Pesuruhjaya PAS negeri Mohd Aminuddin Aling di Ibu Pejabat Polis Karamungsing, Kota Kinabalu jam 11.30 pagi tadi.

Laporan dibuat bertujuan menuntut siasatan lanjut terhadap pendedahan lima orang bekas kakitangan kerajaan yang mengakui bahawa kerajaan telah memberikan IC kepada PATI di Sabah.

Berdasarkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dibentangkan 3 Disember lalu, dinyatakan tidak ada penglibatan parti mahupun motif politik dalam Projek IC.

Malah laporan itu sekadar menyalahkan sindiket didakwa melibatan bekas Pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan gejala rasuah di jabatan tersebut.

Ketua Setiausaha Negara Tan Seri Dr Ali Hamsa mendakwa tidak timbul soal penglibatan kerajaan dalam Projek IC kerana ia didalangi sindiket dan individu tertentu yang didorong faktor kewangan.

Mengecam kenyataan terbabit, Jimmy yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu menyatakan rakyat Sabah tidak pernah percaya dengan penemuan kononnya kerajaan tidak terlibat dalam Projek IC.

“Kesaksian bekas pegawai-pegawai JPN adalah mencukupi untuk mengaitkan pihak kerajaan.

“Kita masih ingat tiga bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang memberi keterangan kepada panel RCI dan kemudian ditahan di bawah ISA kerana memberi kad pengenalan kepada warga asing.

“UMNO terlibat. Ramai (dari kalangan warga asing yang mendapat kad pengenalan) turut didaftarkan sebagai pengundi,” katanya baru-baru ini.

Naib Pengerusi DAP Sabah Chan Foong Hin pula menegaskan, laporan RCI terbukti dibentangkan berdasarkan fakta yang tidak sempurna.

“Laporan menyimpulkan Projek IC itu ‘mungkin wujud’.

“Jadi bagaimana kita mahu mengharapkan kerajaan BN memperbetulkan isu itu apabila mereka sendiri menafikan kewujudannya?,” soal Chan. – Roketkini.com