Berita

Najib mentadbir dengan rasa tak selamat, ketakuan

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Hanya menerusi kepimpinan pintar melalui kesederhanaan dan kecemerlangan yang boleh menyelamatkan Datuk Seri Najib Razak untuk kekal sebagai Perdana Menteri, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“Najib sudah terlalu lama memimpin dengan penyalahgunaan undang-undang Akta Hasutan terhadap lawan politik dan ahli akademik serta memungkiri janji dilaungkan tiga kali untuk memansuhkannya.

“Tidak ada cara lain untuk Najib jika dia mahu terus mentadbir kecuali menerusi kepimpinan pintar yang memandang ke hadapan.

“Pendekatan bebal dan penuh ketakutan hanya menghalang kemajuan sebuah negara yang demokratik, makmur dan progresif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut menyambut baik surat terbuka 25 tokoh Melayu yang menyeru dialog rasional kedudukan Islam dalam demokrasi berpelembagaan dan memohon Najib agar menegakkan nilai kesederhanaan.

Beliau berkata, seruan itu jelas mencerminkan kegagalan Najib mengotakan janji sepanjang pentadbirannya.

“Najib menerima kritikan dari Naib Presiden Amerika Syarikat Joe Biden yang hairan dengan percanggahan mengenai kesederhanaan di pentas antarabangsa, namun masih belum membasmi kumpulan ekstremis di negara sendiri, malah menyekat kebebasan dan hak demokrasi,” ujarnya.

Guan Eng menegaskan lagi, rakyat Malayaia tidak mudah tertipu untuk percaya dengan dakwaan bahawa hak-hak orang Melayu dan Islam sedang diancam.

Walhal katanya, tindakan itu sengaja dilakukan hanya untuk mengalih perhatian dari masalah ekonomi negara.

“Kenaikan harga yang tidak sepadan dengan kenaikan gaji, peningkatan hutang isi rumah secara tidak langsung menjadikan Malaysia mencatat hutang peribadi tertinggi peribadi di Asia iaitu sebanyak 87 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Taktik perkauman dan ekstrem mungkin membantu UMNO untuk jangka masa pendek, teapi menyebabkan kerosakan jangka panjang kepada perpaduan serta integrasi negara tanpa menyelesaikan beban kewangan dihadapi rakyat.

“Malah, Laporan Pembangunan Manusia mendedahkan angka mengejutkan iaitu 90 peratus rakyat yang bekerja tidak mempunyai simpanan untuk digunakan ketika kecemasan,” kata Guan Eng. – Roketkini.com