Berita

PR Sabah desak SPR henti persempadanan semula

KOTA KINABALU, 10 DIS: Pakatan Rakyat Sabah mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghentikan persempadanan semula kawasan pilihanraya sehingga senarai daftar pemilih dibersihkan sepenuhnya.

Ketua Pembangkang DUN Sabah Datuk Lajim Ukin berkata, berdasarkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), nama-nama pemegang kad pengenalan haram masih kekal dalam daftar pemilih.

“Kami menggesa SPR menangguhkan terlebih dulu persempadanan semula sehingga masalah ini selesai.

“Persempadanan semula juga harus dihentikan untuk mengelak dari berlakunya ‘gerrymandering,” katanya dalam sidang media bersama Pengerusi DAP Sabah dan Pesuruhjaya PAS negeri Mohd Aminuddin Aling di Hotel Shangri-la, semalam.

Dibawah proses persempadanan semula, difahamkan wujudnya tujuh kawasan baru untuk pilihanraya negeri akan datang.

Antara kawasan itu adalah Darau dan Mengkabong di Tuaran, Limbahau (Papar), Pandasan (Kota Belud), Sepagaya (Lahad Datu) dan Bukit Garam (Kinabatangan).

Lanjutan itu itu, DAP Sabah akan menganjurkan Forum Laporan RCI: Harapan atau Malapetaka Untuk Sabah? di Palace Hotel, Kota Kinabalu pada 11 Disember ini.

Menurut Naib Pengerusi DAP negeri Chan Foong Hin, forum tersebut yang bermula pada jam 7 malam akan membincangkan hasil Laporan RCI Sabah yang dikeluarkan minggu lalu.

Orang ramai terutamanya rakyat Sabah yang prihatin dengan isu tersebut dialu-alukan hadir. -Roketkini.com