Berita

“Harap 2014 tak berakhir tanpa mesyuarat PR” – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 11 DIS: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang hari ini menyambut baik saranan Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar bahawa Pakatan Rakyat (PR) mesti bertanggungjawab terhadap 52 peratus pengundinya dan mencari jalan memperkukuhkan lagi kebersamaan.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menegaskan,  perbincangan di kalangan pemimpin PR adalah agenda penting selepas enam bulan tidak diadakan pertemuan dengan tugas utama adalah untuk memastikan 52 peratus pengundi yang meletakkan harapan serta kepercayaan tetap utuh.

“Secara peribadi, saya berharap tahun 2014 tidak akan berakhir tanpa mesyuarat majlis kepimpinan untuk menetapkan PR kepada arah baru tahun hadapan.

“Saya mengalu-alukan cadangan Mahfuz bahawa parti-parti dalam PR perlu meneruskan perrtemuan dan perbincangan di kalangan pemimpin-pemimpin utamanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Kit Siang, perbincangan juga amat penting bagi menguatkan lagi rangka kerja dasar bersama yang telah membawa DAP, PKR dan PAS membentuk satu pakatan dalam PRU 13 untuk kekal sebagai teras dasar rangka kerja PR.

“PR mesti bertanggungjawab kepada 52 peratus pengundi yang menjadikan UMNO-BN pada pilihanraya umum (PRU) ke 13 sebagai kerajaan Persekutuan minoriti pertama dalam sejarah negara.

“Prinsip konsensus itu yang telah menjadi operasi asas PR dalam proses membuat keputusan diharap akan dihormati dan dipatuhi sepenuhnya,” ujarnya.

Mahfuz dalam sidang media di ibu pejabat PAS menggesa semua pemimpin PR untuk menyambung semula perbincangan melalui mesyuarat majlis kepimpinan.

Kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu,  mesyuarat tersebut adalah amat penting bagi PR untuk menetapkan arah tuju bersama. – Roketkini.com