Rencana

Kelmarin dalam pluralisme

Hampir sepuluh tahun lalu, kerajaan telah mengharamkan buku Islam dan Pluralisme. Buku itu sebuah karya terjemahan yang menghimpunkan rencana oleh beberapa orang sarjana, antaranya Reza Shah Kazemi, Asghar Ali Engineer dan John Hick, serta diterbitkan tidak lama setelah Majelis Ulama Indonesia mengharamkan liberalisme dan sekularisme.

Kelmarin, seorang bekas ahli parlimen yang baru sedang membaca buku itu bertanya kepada saya, mengapa ia diharamkan? Saya katakan tidak tahu kerana setahu saya, Kementerian Dalam Negeri tidak pernah memberikan alasan rasmi untuk pengharaman sebarang buku. Bagaimanapun, saya katakan kepada bekas YB yang juga seorang aktivis dakwah itu bahawa saya agak pasti tentang punca pengharaman, iaitu kerana seorang perwakilan Umno – kalau tidak salah ingatan saya perwakilan dari Kelantan – telah menjulang buku itu dalam Perhimpunan Agung UMNO pada tahun yang sama sebagai buku yang berbahaya dan menyesatkan.

Rupanya setelah hampir sepuluh tahun, perkara pluralisme ini masih dijadikan hantu raya untuk menakut-nakutkan orang. Kelmarin juga, menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom menyebut di Dewan Negara bahawa kebelakangan ini fahaman liberalisme dan pluralisme paling banyak ‘menghina’ Islam.

Pada kelmarin yang sama, seorang sarjana Muslim Afrika Selatan mengulas kenyataan Jamil Khir itu dengan mengatakan bahawa “Kalau kalian mahu menjauhkan diri daripada liberalisme, kalian perlu mengoyak perlembagaan Malaysia dan mula meruntuhkan asas masyarakat [Malaysia].”

Dalam program syarahan anjuran bersama Penang Institute dan Islamic Renaissance Front di Pulau Pinang itu, Prof. Ebrahim Moosa mengupas tajuk “Developing a Philosophy of Pluralism”.

Mengakui bahawa mungkin para penentang liberalisme dan pluralisme di Malaysia mempunyai pengertian yang berlainan tentang kedua-dua konsep itu, Prof. Ebrahim menegaskan bahawa “perbincangan antara orang dewasa” adalah jalan keluar untuk merungkai kekeliruan.

Di situlah salah satu punca masalah, iaitu bahawa pihak berkuasa di negara ini lebih gemar mengambil sikap dan tindakan kebudak-budakan. Baru saja beberapa bulan lalu, misalnya, kuasa imigresen digunakan untuk menghalang pemikir Indonesia Ulil Abshar Abdalla masuk Malaysia. Padahal, boleh saja dianjurkan satu sesi dialog di Pusat Islam untuk meluruskan jalan fikir tokoh itu kalau memang benar dia telah terpesong.

Bagaimanapun, sangat mungkin kuasa bukan satu-satunya punca agamawan di negara ini suka menindas. Untuk kali ini, saya kemukakan tiga punca lain: Pertama, penolakan terhadap peranan akal; kedua, merasa serba-serbi tahu, dan; ketiga, berpegang dengan satu aliran secara totok.

Di bahagian awal syarahan, sebelum timbul isu Jamil Khir dan “pluralisme penghina agama”, ketiga-tiga perkara itu disentuh oleh Prof. Ebrahim. Sarjana itu, yang mendapat pendidikan di Darul Ulum Nadwatul Ulama, Lucknow, salah sebuah pusat pengajian Islam tersohor di dunia Muslim, menjelaskan prinsip-prinsip pentafsiran yang digariskan Imam al-Ghazali dalam kitab Qanun al-Ta’wil (terjemahan: Aturan Pentafsiran) iaitu, pentafsir 1) tidak harus menolak peranan akal atau menolak nalar, 2) tidak harus menganggap dirinya tahu serba-serbi perkara, dan 3) ketika berdepan dengan tafsiran yang berbilang dan berlainan, jangan terlalu berpegang dengan salah satu tafsiran sehingga meremehkan yang lain.

Peningkatan sikap taksub perkauman dan keagamaan di Malaysia kebelakangan ini, seperti yang ditunjukkan oleh UMNO, ISMA dan Perkasa, menimbulkan kehairanan mengapa Melayu-Muslim merasa begitu tidak yakin diri sehingga selalu merasa terancam.

Sememangnya fenomena merasa terancam ini telah lama menjangkiti Muslim di banyak tempat, bukan saja Melayu di Malaysia. Boleh dikatakan sejak runtuh empayar Osmaniah nada umat Islam selalu saja sedih, meratap dan mengaduh.

Prof. Ebrahim menimbulkan persoalan yang sama kelmarin. Beliau hairan mengapa dengan jumlah sebesar 1.4 bilion penganut Islam, Muslim masih merasa tidak selamat. Padahal, ujar beliau, kerjasama manusia pelbagai budaya dari kalangan Muslim dan bukan-Muslim akan membuahkan manfaat yang tidak terhingga, seperti madu yang dihasilkan oleh lebah daripada pelbagai bunga (perlambangan ‘manfaat kepada manusia’ yang dinyatakan dalam Quran, surah al-Nahl).

Menurut sarjana itu, Muslim mungkin merasa tidak selamat kerana mereka tidak yakin dengan tradisi sendiri. Penawarnya, ujar beliau, ialah dengan meningkatkan pengetahuan tentang makna ibadat, kedudukan isi dunia di depan Tuhan, termasuk mengukuhkan kefahaman tentang masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, antaranya dengan saling melawat tempat ibadat bagi merealisasikan konsep ‘li ta’arafu’, berkenal-kenalan. – Roketkini.com