Berita

Kerajaan Perak gagal tangani masalah kemiskinan, golongan terlantar

IPOH, 11 DIS: Kerajaan Perak gagal membantu golongan miskin secara menyeluruh hingga menyebabkan sebilangan darpada golongan itu masih dipinggirkan, kata ADUN Pasir Pinji Howard Lee Chuan How.

Katanya, sistem kebajikan sedia ada kurang fleksibel dan gagal sampai kepada golongan ‘penjaga’ yang bertanggungjawab keatas tanggungan terlantar yang memerlukan penjagaan sepenuh masa.

Kata Howard , golongan ini terdiri daripada individu yang suatu ketika ditanggung bersama satu unit keluarga, namun kemudiannya berdepan masalah apabila ibu dan bapa atau kedua-duanya sekali ditimpa musibah.

“Kes sebegini menyebabkan mereka terpaksa berhenti kerja dan terus dijadikan tanggungan.

“Bukan sahaja harus menanggung tekanan emosi akibat kemudaratan, tetapi harus menangung beban perbelanjaan dan hutang secara bersendirian

“Dari sudut pandang ekonomi, jika dibiarkan tanpa sebarang bantuan, golongan ini akan terjatuh dalam perangkap kemiskinan,” ujarnya dalam perbahasan sidang DUN Perak.

Jelas Howard, golongan ini tidak hanya melibatkan anak kepada ibu-bapa, tetapi merangkumi isteri kepada suami dengan tanggungan anak-anak, atau abang kepada adik yang tidak beribu-bapa dan sebagainya.

“Golongan ini adalah kelompok yang paling senang terjatuh ke bawah paras kemiskinan dan ditimpa cabaran kewangan yang melesukan.

“Lebih penting lagi, Perak juga akan kehilangan pekerja-pekerja dan angkatan ‘middle management’ yang berpotensi jika dibiarkan begitu sahaja,” ujar Howard. – Roketkini.com